TERIMA KASIH KPDNHEP, HARGA KIT UJIAN PANTAS COVID-19 KINI RM19.90

TERIMA KASIH KPDNHEP, HARGA KIT UJIAN PANTAS COVID-19 KINI RM19.90

0
SHARE
Kit ujian Covid-19...

KUALA LUMPUR – Penduduk negara kini boleh menguji diri sendiri terhadap jangkitan COVID-19 secara selesa dan pada harga berpatutan setelah kerajaan menetapkan nilai Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (Ujian Sendiri) kepada RM19.90 seunit, hari ini.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menjelaskan harga borong juga ditetapkan pada harga RM16 seunit.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi…

Dalam sebuah kenyatan hari ini, beliau berkata pengawalan harga tersebut mula berkuat kuasa pada Ahad (5 Sept) ini.

Menurutnya, permintaan terhadap kit tersebut dijangkakan meningkat susulan kesedaran orang ramai bagi membuat ujian kendiri untuk memastikan jika bebas dari wabak COVID-19.

“Kerajaan sedar bahawa situasi COVID-19 seluruh dunia termasuk negara ini masih belum pulih malah semakin mencabar…

“Sehubungan itu, KPDNHEP dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dalam melaksanakan penentuan harga borong dan runcit,” katanya.

Perlaksanaan siling harga itu selepas sesi libat urus diadakan dengan semua pemain industri tempatan dan pengimport dalam menentukan harga kawalan yang berpatutan bagi semua pihak.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya menerima banyak rungutan serta desakan yang menyifatkan harga bagi satu set kit ujian kendiri RM35 hingga RM39.90 adalah terlalu mahal.

Susulan daripada pengumuman ini, KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka (facemask) sekarang.

“Kit ujian kendiri ini merupakan peranti yang diluluskan secara bersyarat oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia, bagi pengesanan antigen yang menyebabkan COVID-19 dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau calitan hidung,” jelasnya lagi.

Peranti itu jatuh di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ini…

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan boleh dikenakan didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 bagi individu.

“Manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” tegas beliau.

KPDNHEP turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

Beliau menasihati pengguna jika mendapati peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, aduan boleh disalurkan kepada aduan@kpdnhep.gov.my atau Whatsapp ke talian 019- 279 4317.