Thailand Semakin Hampir Laksana Kembiri Bagi Tangani Jenayah Seks

Thailand Semakin Hampir Laksana Kembiri Bagi Tangani Jenayah Seks

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

BANGKOK, THAILAND – Thailand semakin hampir untuk memperkenalkan kaedah kembiri secara kimia sebagai satu daripada langkah untuk menangani jenayah seks di negara itu.

Memetik laporan BH, perkara itu  selepas penggubal undang-undang negara itu meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan memberi beberapa pesalah hak untuk memilih prosedur itu, sebagai balasan kepada pengurangan hukuman penjara.

RUU yang melepasi dewan rakyat pada Mac itu diluluskan semalam oleh 145 anggota dewan, dengan dua lagi berkecuali.

Ia bagaimanapun masih memerlukan satu lagi pengundian, sebelum disusuli pewartaan diraja.

Berdasarkan statistik jabatan koreksional, seramai 4,818 daripada 16,413 pesalah seks yang disabitkan bersalah dan dibebaskan dari penjara Thailand antara 2013 hingga 2020, didapati mengulangi kesalahan sama.

Di bawah RUU itu, pesalah seks tertentu yang dianggap berisiko melakukan kesalahan semula boleh diberi pilihan untuk menerima suntikan yang mengurangkan tahap testosteron mereka.

Ia sebagai balasan untuk tempoh penjara yang lebih singkat, dengan syarat mereka mendapat kelulusan dua doktor.

Mengikut RUU berkenaan, pesalah terbabit akan dipantau selama 10 tahun dan dikehendaki memakai gelang pemantauan elektronik.

Jika RUU itu diluluskan kelak, Thailand akan menyertai sekumpulan kecil negara yang menggunakan kaedah kembiri secara kimia itu antaranya Poland, Korea Selatan, Russia dan Estonia, selain beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS).

Menteri Kehakiman, Somsak Thepsuthin berkata, beliau mahukan undang-undang itu diluluskan dengan cepat.

“Saya tidak mahu melihat berita tentang perkara buruk berlaku kepada wanita lagi,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Jaded Chouwilai, Pengarah Yayasan Gerakan Progresif Wanita dan Lelaki selaku sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menangani keganasan seksual, antara lain berkata penggunaan kaedah kembiri secara kimia tidak akan menangani jenayah seks.

“Banduan harus dipulihkan dengan mengubah minda mereka semasa di penjara…

“Menggunakan hukuman seperti hukuman mati atau kembiri yang disuntik menguatkan idea bahawa pesalah tidak boleh dipulihkan lagi,” katanya.