KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata kesalahan mengubah suai ekzos kenderaan hanya akan dikenakan advokasi, iaitu pengeluaran notis untuk temu siasat.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan telah membuat satu keputusan untuk menumpukan kepada pendekatan advokasi dengan mengeluarkan NOTIS 114 berbanding tindakan saman.
NOTIS 114 merupakan notis panggilan temu siasat dan sesiapa yang menerima notis itu perlu tampil memberikan keterangan di mana-mana cawangan JPJ untuk membantu siasatan.
Sebelum ini, kerajaan mengenakan saman sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan kepada pemilik kenderaan yang mengubah suai ekzos kenderaan mereka.
Polis turut diberi kuasa untuk menyita motosikal bagi mengelakkan kesalahan sama berulang di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Operasi Khas Ubah Suai Ekzos di seluruh negara yang bermula 1 Mac lalu mencatatkan sebanyak 10,166 saman atas pelbagai kesalahan yang telah dikeluarkan hanya selepas 5 hari operasi tersebut dilaksanakan, menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Menteri Pengangkutan telah memaklumkan sendiri perkara ini kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim agar pesalah tidak lagi disaman, katanya pada media selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2020.
Memandangkan Operasi Khas Ubah Suai Ekzos ini turut melibatkan polis trafik, Dr. Wee memaklumkan bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah JPJ bagi menyelaraskan tindakan advokasi tersebut.