KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) telah mengambil tindakan ke atas timbalan pengarahnya, Dr Senthivel K.S.S Nathan, pada 20 Oktober lalu (Rabu) ekoran pernyataan beliau yang berunsur “gangguan seksual”.
Seorang bekas pekerja wanita di Unit Perlindungan Jabatan Hidupan Liar menerbitkan isu muat naik satu gambar di laman Facebook peribadi Senthivel yang merujuk kepada TIGA (3) pekerja wanita jabatan secara tidak sopan.
“Awas voltan tinggi, terlalu panas untuk dijaga, tiga ‘wanita jalang’ saya sedang berkerja keras untuk menyelamatkan hidupan liar di Sabah,” tulis beliau.

Menteri Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) Datuk Jafry Ariffin berkata pihaknya memandang serius dakwaan tersebut.
“Tindakan lanjut akan diambil di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah Bil. 225 (2) atas kesalahan di bawah peraturan 209(2)(a) dan 209(2)(b) kerana membuat penyataan bertulis yang bersifat gangguan seksual di halaman Facebook pada 18 oktober 2021 lalu…
“Saya mengakui perbuatan itu telah mencemarkan nama baik perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, wujud satu lagi dakwaan dari bekas pekerja terbabit yang mengatakan bahawa wang Unit Perlindungan Hidupan Liar telah disalah guna.
Jafry berkata jabatan itu telah meminta pencerahan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) untuk transaksi yang berlaku pada 8 Mac 2019.
“Menurut laporan yang diberi, pengunaan kewangan selain kegunaan kerja unit itu adalah dibenarkan mengikut kebijaksanaan pegawai yang mengawal kewangan…
“Walaubagaimanapun, tindakan selanjutnya terhadap pegawai terlibat akan ditentukan dalam masa terdekat,” katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa KePKAS tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana staf yang mengambil kesempatan atau menyalahguna kuasa mereka.
“Kementerian amat mengutamakan keselamatan, kebajikan, dan kualiti seluruh warganya, khususnya dalam mengamalkan budaya integriti dan profesional yang tinggi,” Jafry berkata.
Sementara itu, Pengarah JHLS, Augustine Tuuga, semasa dihubungi mengesahkan bahawa Senthivel masih bekerja di Jabatan tersebut tetapi bukan lagi di bahagian Unit Perlindungan.





