Tindakan Pemimpin BERSATU Sabah Keluar Parti Tidak Beri Kesan Kepada Kerusi Parlimen

Tindakan Pemimpin BERSATU Sabah Keluar Parti Tidak Beri Kesan Kepada Kerusi Parlimen

0
SHARE
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof...

KUALA LUMPUR – Tindakan pemimpin BERSATU Sabah yang bertindak keluar parti baru-baru ini termasuk empat Ahli Parlimen yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat tidak membawa kesan kepada kerusi Parlimen terbabit.

Memetik sumber Berita Harian, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata apabila Parlimen dibubarkan, semua Ahli Parlimen atau bakal calon bebas memilih bertanding dengan mana-mana pihak.

“Mereka boleh menerima watikah pencalonan daripada mana-mana parti atau gabungan yang mereka mahu, cuma apabila mereka bertanding dengan gabungan selain gabungan parti yang mereka sertai, maka secara automatik keahlian mereka dalam parti itu gugur,” katanya.

Susulan itu, Mohd Redzuan berkata, berhubung isu empat orang Ahli Parlimen BERSATU yang dilanda kontroversi berkaitan lompat parti terbabit, beliau menyatakan perkara tersebut perlu dikaji semula.

“Kita perlu tahu adakah gugur keahlian mereka secara automatik apabila menerima watikah pencalonan daripada GRS dan jika benar, mengapa perlu mereka mengumumkan keluar BERSATU sedangkan mereka bukan lagi ahli parti,” katanya.

Selain itu menurutnya, aspek perlembagaan parti perlu diutamakan dan keputusan sama ada empat Ahli Parlimen itu masih ahli BERSATU atau bukan, tertakluk kepada perlembagaan dan lembaga disiplin parti.

“Setahu saya, jika mana-mana Ahli Parlimen termasuk saya sebagai contoh, jika menerima watikah pencalonan daripada gabungan selain gabungan disertai BERSATU, bermakna keahlian saya secara automatik gugur dan saya bukan lagi ahli BERSATU, namun itu tidak bermaksud saya lompat parti,” katanya.

Beliau berkata, sesiapa saja boleh bertanding dalam PRU15 di bawah naungan mana-mana gabungan parti atau parti individu, namun jika mereka ahli mana-mana parti politik, status keahlian dalam parti berkenaan perlu dirujuk mengikut perlembagaan parti masing-masing.

“Di BERSATU, jika menerima watikah pelantikan parti lawan, mereka dianggap bukan lagi ahli, tetapi tunggu lembaga disiplin atau pihak Ibu Pejabat BERSATU yang tentukan,” katanya.

Sementara itu, mengulas sama ada mereka mempunyai keahlian langsung individu dengan GRS atau tidak, Mohd Redzuan berkata, soal itu tidak timbul dan tidak memberi apa-apa kesan.

Jelasnya ini kerana pada asasnya, mereka bertanding PRU15 dengan gabungan parti lain dan bukannya BERSATU atau Perikatan Nasional (PN).