Tinggalkan Kokpit Untuk Tidur, Biar Pelatih Kendalikan Pesawat

Tinggalkan Kokpit Untuk Tidur, Biar Pelatih Kendalikan Pesawat

0
SHARE

ISLAMABAD  –  Pakistan International Airlines (PIA) menggantung tugas seorang juruterbang yang didakwa tidur hampir ‘dua jam setengah’ semasa dalam penerbangan dari Islamabad-London.

Kejadian itu berlaku pada bulan April lalu apabila Amir Akhtar Hashmi meninggalkan ruang ‘kokpit’ dan tidur di tempat duduk penumpang ‘Kelas  Bisnes’ selepas menyerahkan pesawat itu kepada seorang juruterbang yang masih di bawah latihan tidak lama selepas berlepas.

Tindakan juruterbang itu telah meletakkan nyawa 305 orang penumpang dalam risiko dan bahaya sepanjang penerbangan mereka.

PIA pada awalnya enggan mengambil tindakan ke atas Hashmi, yang juga bekas Presiden Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan Pakistan. Bagaimanapun, tekanan daripada pihak atasan menyebabkan tindakan dibuat ke atas beliau.

Jurucakap PIA, Danyal Gilani berkata, Hashmi kini digantung kerja buat sementara waktu sehingga proses siasatan selesai.

Pada 26 April lalu, Hashmi ditugaskan menerbangkan pesawat PK-785 ke London dengan pegawai pertama, Ali Hassan Yazdani.

Seorang lagi pegawai pertama, Mohammad Asad Ali, yang masih di dalam latihan juga berada dalam kokpit.

Hashmi, merupakan seorang pengajar yang mendapat bayaran lebih Rs100,000 setiap bulan untuk melatih juruterbang dan dia sepatutnya melatih Ali semasa penerbangan.

Ia bukan sesuatu yang luar biasa untuk juruterbang berehat sementara untuk penerbangan jarak jauh, namun ia biasanya dilakukan di dalam kabin kecil terletak di belakang kokpit, jauh dari pandangan penumpang.