JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan Johor mulai hari ini.
Memetik sumber Berita Harian, pelantikan itu diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dengan nasihat Jumaah Majlis Diraja Johor dan kuasa serta kehendak Fasal 9(1)(d) dan (3) Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata pelantikan itu berterusan selama Sultan Ibrahim menjalankan tanggungjawab sebagai Yang Di-Pertuan Agong.
“Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan bagi negeri dan jajahan takhluk Johor Darul Takzim dengan nasihat Jumaah Majlis Diraja dan kuasa serta kehendak Fasal 9(1)(d) dan (3) Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 telah berkenan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan Johor bermula hari ini.
“Pelantikan ini hendaklah berterusan untuk selama Sultan Johor menjalankan kerja-kerja Yang Di-Pertuan Agong. Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor berkenaan gelaran kehormatan bagi Pemangku Sultan adalah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atau DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Istiadat pelantikan berlangsung pada jam 10 pagi di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene, di sini, di hadapan Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim akan bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur mulai 31 Januari ini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun.
Tunku Ismail, 39, yang diputerakan pada 30 Jun 1984 adalah putera sulung Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah daripada enam paduka anakanda.
Sebelum pelantikan itu, TMJ yang meminati sukan polo dan bola sepak telah beberapa kali diamanahkan menjadi Pemangku Raja dengan kali terakhir pada 16 Jun 2022 ketika Sultan Ibrahim berehat seketika daripada menjalankan tugas serta mentadbir Johor.
Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sejak 16 Februari 2012, mendirikan rumah tangga dengan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor pada 24 Oktober 2014.
Pasangan diraja itu dikurniakan dua putera dan dua puteri, iaitu Tunku Khalsom Aminah Sofiah, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim, Tunku Abu Bakar Ibrahim dan Tunku Zahrah Zarith Aziyah.
Terdahulu pada 27 Oktober lalu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-263 (Khas) di Istana Negara sebulat suara mengisytiharkan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun seperti diamalkan selama ini.
Tanggal 30 Januari 2024 dipilih sebagai detik penting pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Agong bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024.






