TONGOD: Daerah Tongod bakal mencatat sejarah sebagai daerah pertama di Sabah yang menyediakan kawasan khas bagi tapak perkampungan baharu untuk menempatkan rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) secara terancang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pelan itu merupakan kerangka hala tuju baharu bagi program rumah SMJ yang dicadangkan untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut pada tahun hadapan.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kunci dua unit rumah SMJ yang baru siap dibina di Kampung Purutowai, semalam.
“Saya telah mengarahkan Pegawai Daerah dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) mengenal pasti kawasan strategik untuk diwartakan sebagai perkampungan baharu SMJ.
“Kita yakin apabila kerajaan negeri dapat membentuk semula kerajaan baharu, maka perkampungan SMJ ini akan diwujudkan sebagai modul pertama di Sabah,” tegasnya.
Menurut Masiung, penempatan baharu itu akan memudahkan perancangan pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik.
Selain itu, katanya, apabila jumlah rumah SMJ semakin bertambah dari tahun ke tahun, kerajaan lebih mudah menempatkan kemudahan awam seperti dewan serbaguna, tadika dan klinik di kawasan terbabit.
Buat masa ini, Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memperuntukkan 40 buah rumah SMJ bagi setiap DUN dengan kos keseluruhan RM3.2 juta. Rumah SMJ diberikan secara percuma kepada rakyat Sabah yang layak.
Turut hadir di majlis penyerahan kunci itu ialah Pegawai Daerah Tongod, Mohd Yuseri Ismail Yusof, serta PPM Tokyo Hasim Omar.






