Tragedi Lelaki Maut Diikat dan Dipukul, 5 Rider Didakwa di Mahkamah

Tragedi Lelaki Maut Diikat dan Dipukul, 5 Rider Didakwa di Mahkamah

0
SHARE
Tragedi lelaki maut dipukul, 5 'rider' didakwa di Mahkamah

BANGI: Lima ‘rider’ atau penghantar makanan didakwa di Mahkamah Bandar Baru Bangi atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lelaki sampai maut susulan kemalangan di Taman Pelangi, Semenyih 2, pada 20 Februari lalu.

Tertuduh, Mahazir Nordin, 43; Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41; Syamdul Qamar Ayob, 40; Azharul Azuan Mohd Azan, 34; dan Tengku Izham Tengku Hamid, 22 tiba di mahkamah pagi tadi yang diwakili peguam Mohd Hafiz. 

Ketika pertuduhan dibacakan, kesemua tertuduh mengangguk tanda faham di hadapan Majistret, Nurdiyanah Mohd Nawawi. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh seorang lelaki, Shahril Samad, 41 tahun, di Jalan TPS 2/3, Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang di sini pda jam 9.54 malam, 20 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekiranya tiada hukuman mati, hendaklah disebat sebanyak 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman.

Mahkamah kemudian menyatakan tiada jaminan diberikan dan menetapkan 25 April depan bagi serahan status forensik, laporan kimia dan bedah siasat.

Terdahulu, media melaporkan mangsa telah diikat tangannya sebelum ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas terlibat kemalangan kemudian diikat dan dipukul sehingga maut.

Kejadian pada 20 Februari itu dipercayai berlaku selepas lelaki berkenaan yang memandu Proton Saga kelabu terbabit dalam kemalangan dengan penghantar makanan.

Sejurus kemalangan itu, mangsa dikatakan dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2, sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.

Polis menahan tertuduh di sekitar kawasan Semenyih serta Beranang untuk membantu siasatan. Polis turut menahan dua lagi lelaki masing-masing berusia 22 dan 39 tahun di Kajang yang disyaki terbabit kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh, manakala polis trafik turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.