Transisi Majlis Daerah Penampang ke Majlis Perbandaran Bermula

Transisi Majlis Daerah Penampang ke Majlis Perbandaran Bermula

0
SHARE
Joachim
Joachim (enam dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu jemputan yg hadir selepas menyempurnakan gimik perasmian acara memulakan detik kiraan pada plak kiraan detik kiraan Majlis Daerah ke arah Majlis Perbandaran Penampang bermula dalam tempoh 90 hari ( Sumber Foto: Ihsan KKTP Sabah )

PENAMPANG, SABAH – Majlis Daerah Penampang bakal dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Joachim Gunsalam melancarkan acara kiraan detik iaitu simbolik transisi Majlis Daerah Penampang kepada Majlis Perbandaran Penampang di perkarangan Bangunan Wisma Majlis Daerah Penampang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tempoh transisi ke arah Majlis Perbandaran adalah penting bagi memastikan urusan-urusan perubahan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan sepenuhnya, sesuai dengan penaiktarafan nanti.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Francis Chong sebagai Pengerusi Majlis Daerah Penampang dan Pegawai Eksekutif, Robert Malangkig atas kejayaan memimpin pasukan Majlis Daerah Penampang sehingga berjaya mendapatkan kelulusan untuk dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Penampang.

Selaras dengan pengiktirafan yang bakal diberikan nanti, Joachim berharap warga Majlis Daerah Penampang melaksanakan tadbir urus yang cekap dan berintegriti tinggi, efisyen dan efektif dalam melaksanakan penugasan-penugasan yang diberikan.

“Faktor-faktor ini amat penting bagi memacu pembangunan sesebuah PBT,” tegasnya.

Beliau berkata, PBT merupakan satu entiti kerajaan ketiga yang begitu penting kerana PBT memberikan perkhidmatan terus kepada masyarakat.

“Tidak dinafikan bahawa tugas menguruskan sebuah PBT merupakan satu tugas yang mencabar, terutamanya sebuah daerah yang aktif seperti Penampang.

“Bagaimanapun, bagi menjadi sebuah PBT yang mampan dan progresif, kakitangan PBT perlulah mengambil anjakan paradigma dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

DJoachim berkata, penjawat awam pada masa kini hendaklah sentiasa bersedia untuk berevolusi sesuai dengan peredaran dan kehendak pemegang taruh, sambil menambah, sebarang keputusan atau dasar yang dilaksanakan perlulah mendapatkan maklum balas menyeluruh dengan penglibatan pemimpin-pemimpin masyarakat.

“Ahli-ahli Majlis yang dilantik merupakan wakil kepada masyarakat daerah Penampang, anda semua memainkan peranan yang penting.

“Bukan hanya terhad dalam penyampaian maklumat daripada masyarakat sahaja tetapi juga mewakili PBT dalam memberikan pencerahan dan makluman dalam apa jua tindakan dan dasar yang dilaksanakan oleh PBT,” ujarnya.