KOTA KINABALU, SABAH – Aksi Tempur Tanpa Senjata (TTS) oleh 5 Rejimen Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) menyerikan lagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024.
Demonstrasi TTS itu dipersembahkan oleh 71 anggota dari pasukan 5 Rejimen KPTD yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah 5 Rej KPTD, Lt Kol Muhamad Azuan Salehuddin.
Antara aksi yang dipersembahkan oleh KPTD itu termasuklah Pergerakan Bunga Sembah, Pergerakan Lawang, Pergerakan Bertarung Rapat Buah Cota, Benet dan Kilas Mengilas, Lompatan Harimau, Aksi Pemusnahan dan aksi penutup.
Selain TTS, sambutan yang bermula seawal 7.00 pagi itu turut menampilkan persembahan Kawalan Kehormatan Utama yang dianggotai seramai 106 anggota dan pegawai lain-lain pangkat dari Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja.
Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung hadir pada sambutan yang diadakan di Jalan Tun Fuad Stephens itu. — JABATAN PENERANGAN SABAH