Tun M Setuju Semua Dengan Gelaran ‘Tun’ Perlu Disiasat

Tun M Setuju Semua Dengan Gelaran ‘Tun’ Perlu Disiasat

0
SHARE
Mahathir
Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad ( Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad )

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju supaya semua mereka yang bergelar ‘Tun’ termasuk beliau sendiri disiasat dan ditahan reman jika gagal menjelaskan sumber pendapatan menurut laporan Berita Harian.

“Saya bersetuju sepenuhnya bahawa Tun perlu disiasat. Jika mereka tidak dapat menjelaskan di mana atau bagaimana mereka mendapat wang itu, harta mereka harus disita.

“Tidak perlu mendapatkan dokumen bukti mengenai salah laku mereka. Syak wasangka sahaja sudah memadai. Tun bukan sahaja perlu disiasat. Mereka juga perlu direman sehingga mereka mendedahkan sumber wang mereka. Jika tidak, itu pasti kerana mereka sembunyikan,” katanya sinis dalam hantaran di Facebook.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah.

Pada Isnin lalu, SPRM menyita Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini yang dikatakan milik keluarga Daim berkait dengan siasatan itu.

Dr Mahathir berkata, jika wang itu benar-benar berpunca daripada rasuah, ia mesti dibanteras dengan apa cara sekalipun, namun menganggap jika Peguam Negara (AG) berpendapat tuduhan itu berpunca daripada politik, beliau berhak tidak meneruskan pendakwaan.

“Pasport hendaklah dikembalikan. Ini adalah hak AG. Mahkamah tidak boleh mempersoalkan keputusan AG,” katanya.

Beliau berkata Malaysia amat mematuhi kedaulatan undang-undang sehingga pesalah kali pertama pun terpaksa melaluinya.

“Jika hukuman sebat adalah wajib maka pesalah hendaklah disebat. Di Malaysia undang-undang adalah tertinggi. Kita semua mesti mematuhinya,” katanya.