TUNTUTAN WARIS KESULTANAN SULU TIDAK DIIKTIRAF SABAH – KM HAJIJI

TUNTUTAN WARIS KESULTANAN SULU TIDAK DIIKTIRAF SABAH – KM HAJIJI

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata tuntutan waris Kesultanan Sulu tidak pernah dan tidak akan diiktiraf oleh Kerajaan Negeri kerana Sabah adalah sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

Justeru, Ketua Menteri menggesa rakyat supaya bertenang dan membiarkan pihak perundangan kerajaan negeri dan persekutuan mengendalikan perkara itu.

“Ia adalah satu dakwaan yang tidak masuk akal.

“Kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak boleh dipersoalkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Wisma Putra dan Peguam Negara dalam satu kenyataan bersama berkata Malaysia menolak perintah mahkamah timbang tara Perancis untuk membayar kira-kira RM63 bilion kepada keturunan Kesultanan Sulu.

Penimbang tara, Gonzalo Stampa, memutuskan pada 28 Feb bahawa Malaysia melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir Sabah.

“Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan itu dan tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan kerana Malaysia sentiasa mempertahankan dan tidak pernah mengenepikan kedaulatannya sebagai sebuah Negara yang berdaulat,” kata Hajiji.