UPKO Sokong Anwar Sebagai PM Baharu

UPKO Sokong Anwar Sebagai PM Baharu

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menjelaskan pendirian menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Setiausaha Agung UPKO, Nelson W Angang dalam satu kenyataan yang dipetik BH Online berkata, satu-satunya Ahli Parlimen mewakili UPKO, Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran) telah menghantar Akuan Bersumpah (SD) ke Istana Negara seperti ditetapkan sebelum jam 4 petang kelmarin.

“UPKO konsisten dengan keputusan menyokong Ketua Pembangkang (Anwar) yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai calon Perdana Menteri baharu…

“Presiden kami, Datuk Seri Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran sudah menghantar SD kepada Istana Negara untuk mengesahkan sokongannya kepada Anwar,” katanya.

Beliau berkata, parti pembangkang tempatan Sabah itu membuat kenyataan sedemikian bagi menjelaskan pendirian parti jika ada pihak mendakwa perkara sebaliknya.

UPKO sebelum ini tidak menamakan mana-mana Ahli Parlimen sebagai calon Perdana Menteri selain turut berdiam diri mengenai hasrat Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri jika mendapat sokongan tambahan Ahli Parlimen dari luar PH khususnya dari Sarawak.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal…

Mohd Shafie bagaimanapun dilaporkan gagal mendapatkan sokongan yang diharapkan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum menyatakan pendirian turut menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri mewakili blok pembangkang.