KOTA KINABALU, SABAH – Usaha pemberian bantuan bakul makanan Parti Warisan kepada rakyat di Kampung Likas yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah sikap terpuji, tetapi hendaklah terlebih dahulu mengikut saluran yang betul.
Seorang pemimpin bertauliah, yang ingin kekal disanjungi rakyat sepatutnya bijak mengawal emosi terutamanya apabila melakukan sesuatu di atas dasar keikhlasan dan sukarela.
Sebelum memanggil Mayor Kota Kinabalu seorang “OTAK UDANG”, pemimpin tersebut patut terlebih dahulu mengkaji langkah dan kaedah menyerahkan bantuan kepada suatu lokasi yang dikenakan PKPD.
Apabila sudah melihat pagar dawai ‘concertina’ didirikan mengelilingi suatu kawasan yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19, dengan menggunakan sedikit akal, boleh disimpulkan bahawa dawai tersebut bertujuan untuk menghalang orang keluar mahupun masuk.
Peraturan ini tidak melihat apa jua bendera politik yang dikibar sama seperti virus COVID-19 yang akan menyerang seseorang individu tanpa mengira asal-usul mereka.
Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah melarang mana-mana pihak politik untuk menghulurkan bantuan sesama rakyat, demikian menurut Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmey Yahya.
“Cumanya, Standard Operating Procedure (SOP) jelas dan konsisten di mana bantuan yang ingin diserahkan ke dalam kawasan yang telah diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi harus diserahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah untuk proses pengagihan,” katanya.
Hal ini dikendalikan oleh petugas khas yang akan melalui proses pembasmian kuman sambil memakai peralatan perlindungan diri yang sepatutnya, bukannya seluar jeans, baju-T dan sekeping pelitup muka (facemask).
Jika pemimpin Parti Warisan berkenaan, yang telah menunjukkan kemarahannya dalam sebuah siaran langsung di laman media sosial Facebook pada Sabtu lalu benar ingin membantu, beliau sepatutnya akur dengan SOP ini.
Jika tidak, adakah tujuan asal beliau menghulurkan bantuan sekadar bagi menunjuk muka?
Soalnya bukan menghalang rakyat mendapat bantuan, tetapi membantu rakyat di dalam kawasan PKPD Kampung Likas pulih dengan segera dan rakyat di luar kawasan terkesan terus selamat dengan penyingkiran risiko penularan virus.
Sedangkan jumlah pelanggan dalam sebuah premis dihadkan mengikut SOP COVID-19, inikan lagi di dalam kawasan yang sudah disahkan sebagai pusat virus tersebut membiak.
Dalam pada itu, Shahelmey berkata; “Tiada ‘double standard’ dipraktikkan dalam kerajaan GRS, tapi ini semua bagi mengawal risiko jangkitan.”
Timbul juga isu ketika ini yang mana telah dikemukakan oleh parti yang sama bahawa beberapa kawasan kampung di Penampang kononnya tidak mendapat bantuan bakul makanan.
“Sejak GRS menjadi kerajaan negeri Sabah, sudah tiga kali kita memberikan bantuan kepada seluruh rakyat terjejas…
“Kriteria kerajaan adalah golongan terbabit haruslah tersenarai dalam program e-Kasih atau adalah golongan B40. Sekiranya masuk dalam kategori itu, maka mereka layak,” katanya.
Shahelmey menambah bahawa belum pernah ada kawasan yang jatuh di bawah PKPD diabaikan dan kedai runcit yang ada di dalam kawasan yang dikenakan PKPD itu juga dibenarkan untuk beroperasi tetapi tertakluk kepada SOP.