PUTATAN, SABAH – Sebanyak 6,868 bakul makanan mula diagihkan kepada golongan sasar dalam daerah yang tersenarai dalam program e-Kasih dan B40 melalui Bantuan Sabah Prihatin 3.0 COVID-19 (BSP 3.0) di sini, hari ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya berkata, sejumlah 340,000 bakul makanan telah diperuntukkan Kerajaan Negeri kepada seluruh rakyat Sabah.
“Pengagihan sudah pun bermula di beberapa buah daerah termasuk di sini dan proses itu dijangka selesai selewatnya menjelang hujung bulan ini,” katanya selepas proses penyerahan bakul makanan kepada penerima yang tersenarai dalam program e-Kasih dan B40 di Dewan Mini Pasir Putih Putatan, hari ini.
Tambah beliau, bantuan ‘one-off’ bernilai RM 300 juga kini dalam proses penyaluran ke akaun penerima mengikut kementerian tertentu masing-masing.
“Sebagai contoh, Menteri Pembangunan Kesejahteraan Rakyat mempuyai lebih kurang 54,000 penerima yang tersenarai melalui Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am, ini termasuklah ibu-ibu tunggal, veteren Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain lagi,” katanya.
Shahelmey berkata proses itu pula dijangka siap menjelang hujung minggu ini.
Dalam pada itu, beliau meminta lebih ramai rakyat Sabah untuk bersedia divaksin kerana purata 12 ribu individu yang divaksin setiap hari akan berganda kepada sasaran 30 ribu pada bulan hadapan.
“Maklum balas pendaftaran bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) semakin meningkat dengan usaha penggerakan ‘program outreach’ kawasan luar bandar Kerajaan Negeri dengan kerjasama beberapa NGO…
“Kita maklum pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera atau laman sesawang agak sukar bagi penduduk kawasan luar bandar tapi dengan program outreach ini kita yakin dapat menjayakannya,” tambahnya lagi.
Jelasnya, Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah di darat dan Sazma Aviation di udara secara sukarela sedang membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menyampaikan vaksin kepada penduduk pedalaman.
“Untuk mencapai imuniti kelompok 80 peratus (80%), kita sasarkan 3.1 juta rakyat Sabah perlu divaksin terlebih dahulu…
“Dengan PICK yang diperhebatkan dan bekalan vaksin baru yang mencukupi pada bulan hadapan kita boleh katakan itu mungkin dicapai pada hujung bulan Oktober ini,” katanya.
Shahelmey juga berkata kesedaran orang awam terhadap pentingnya divaksin mula meningkat dari pemerhatiannya sejak hujung Mei melalui peningkatan kadar pendaftaran baharu berikutan usaha-usaha kempen yang telah dilakukan.