Usaha Perkenal Sukan Memanah Tradisional Ke IPTA, KESATRIA Anjur Program Pengenalan Di...

Usaha Perkenal Sukan Memanah Tradisional Ke IPTA, KESATRIA Anjur Program Pengenalan Di UiTM

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Dalam usaha memperkenalkan sukan memanah tradisional ke institut pengajian tinggi awam negeri ini, Kelab Memanah Kesatria Kota Kinabalu (KESATRIA) dengan kerjasama Rawja Archery menganjurkan program pengenalan memanah tradisional kepada 21 pegawai Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sabah.

Presiden KESATRIA, Md Suhaimi Sapiee dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata 21 pegawai terbabit membabitkan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Unit Sukan, Unit Kokum, Bahagian Pengurusan Fasiliti, Unit Pengurusan Kolej dan NR, Pejabat Polis Bantuan, Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Unit Hal Ehwal Islam.

Menurutnya, program yang memakan masa selama setengah hari yang dilaksanakan bertempat di Arena Memanah Tradisional Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu telah dimulakan dengan sesi pengenalan memanah tradisional secara teori dan praktikal.

Mengulas lanjut, penekanan diberikan dari segi tatacara keselamatan, adab, disiplin dan teknik memanah tradisional yang betul semasa sesi teori tersebut.

“Program ini bertujuan khusus untuk memberi pendedahan sebenar secara praktikal kepada 21 pegawai terbabit tentang sukan memanah tradisional agar sukan ini dapat diterima baik sebagai salah satu acara sukan selain ianya boleh ditawarkan sebagai salah satu subjek kokurikulum di UiTM kelak.

“Saya amat teruja dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Datin Dr Rafidah Datuk Salleh di atas sokongan padu yang diberikan dalam usaha pembangunan sukan memanah tradisional di UiTM cawangan Sabah khasnya dan di Negeri Sabah amnya” katanya.

Sementara itu, Datin Dr Rafidah menyatakan harapan agar program pengenalan sukan memanah tradisional terbabit menjadi sukan yang bukan sahaja diluaskan di kalangan pelajar IPTA tetapi juga kepada orang awam.

“Semoga sukan memanah tradisional ini dikenali ramai dan dapat diketengahkan ke arena sukan yg lebih tinggi,” katanya.