VIDEO VIRAL KES SERANGAN KE ATAS MAJIKAN, DUA DITAHAN DAN DUA LAGI...

VIDEO VIRAL KES SERANGAN KE ATAS MAJIKAN, DUA DITAHAN DAN DUA LAGI DIBURU

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Polis menahan dua daripada empat suspek yang terlibat dalam serangan ke atas majikan mereka di sebuah kilang memproses ikan di Sepanggar, di sini, pada Khamis.

Insiden yang tular pada Ahad itu dikatakan berpunca selepas tuntutan gaji RM10,000 salah seorang daripada penyerang yang belum dibayar menjadi ganas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata keempat-empat suspek telah menghalang pintu masuk premis berkenaan dengan sebuah Perodua Bezza.

Katanya majikan berkenaan bertindak memecahkan tingkap penumpang hadapan menggunakan alat pemadam api apabila mereka enggan berganjak.

“Empat lelaki itu bertindak balas dengan tumbukan dan menghayun rantai kunci sehingga seorang daripada mereka mengeluarkan parang namun beliau ditenangkan oleh ketua kumpulan itu…

“Akibat pergaduhan, majikan mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi pekerja menerima lima jahitan di belakang kepalanya dan dirawat di Klinik Kesihatan Menggatal,” kata Zaidi dalam satu kenyataan kelmarin.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 dan 324 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Zaidi berkata dua tangkapan itu termasuk ketua kumpulan itu, 47, dan rakan subahatnya, 53, yang dilihat mengayun kunci rantai dan mengeluarkan parang.

Kenderaan Perodua Bezza berwarna merah terbabit turut disita untuk membantu siasatan.

“Polis sedang giat mengesan dua baki suspek dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Vermal Subramaniam di talian 010-2314432…

“Pergaduhan itu tiada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap tetapi hanya perasaan tidak puas hati terhadap majikan atas gaji yang belum dibayar.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan saluran undang-undang yang betul apabila terjebak dalam situasi kewangan seperti ini bagi mengelak risiko jenayah,” katanya.