MAHARASHTRA, INDIA – Seorang lelaki berusia 38 tahun maut di Pune di sini, selepas isterinya didakwa menumbuk mukanya kerana dipercayai kecewa tidak dibawa ke Dubai untuk menyambut hari lahirnya.
“Dia mahu meraikannya di Dubai, tetapi suaminya tidak memenuhi permintaannya. Kejadian berlaku pada petang Jumaat di kawasan Wanwadi,” kata polis memetik sumber India Today.
Jelas polis, mendiang, Nikhil Khanna, seorang pemaju hartanah. Siasatan mendapati wanita itu, Renuka, 36, menyambut hari lahirnya pada 18 September.
“Dia mahu meraikannya di Dubai, tetapi suaminya tidak memenuhi permintaannya,” kata seorang Pegawai Balai Polis Wanwadi.
“Selain itu, pasangan itu juga meraikan ulang tahun perkahwinan mereka pada 5 November, dan dia mengharapkan hadiah yang baik daripada suaminya.
“Wanita itu juga kecewa kerana dia ingin pergi ke Delhi untuk hari lahir saudaranya, tetapi tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripadanya suaminya,” katanya.
Pegawai itu berkata pasangan itu berperang mulut pada hari Jumaat.
“Dalam keadaan marah, wanita itu memukul hidung suaminya sehingga berdarah mengakibatkan dia pengsan.
“Selepas dimaklumkan oleh jiran mereka, sepasukan polis tiba di tempat kejadian dan membawa mangsa ke Hospital Besar Sassoon, di mana mangsa disahkan meninggal dunia,” tambahnya.
Ia sedang disiasat sama ada wanita itu memukul suaminya hanya menggunakan penumbuk atau beberapa objek.
“Punca sebenar kematian akan diketahui hanya selepas bedah siasat. Kami telah menahan wanita itu dan siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan,” katanya.
Kes didaftarkan di bawah Kanun Keseksaan India (IPC) 302 atas kesalahan membunuh.