Ribut Petir, Hujan Dijangka Berlaku Tiga Hari Di Seluruh Negara – MetMalaysia

Ribut Petir, Hujan Dijangka Berlaku Tiga Hari Di Seluruh Negara – MetMalaysia

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa tempat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak selama tiga hari bermula hari ini.

MetMalaysia menerusi kenyataan yang dipetik Bernama hari ini memaklumkan ribut petir dijangka berlaku petang ini di beberapa kawasan di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Pada sebelah malam, ribut petir dijangka melanda Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan, Terengganu dan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, ribut petir turut diramalkan berlaku pada pagi esok di Pulau Pinang dan Sarawak (Sri Aman dan Sarikei) selain hujan di satu dua tempat di Perak, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan beberapa kawasan di Sarawak.

Pada petang Khamis, ribut petir diramal di seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak kecuali di Putrajaya, Melaka dan Labuan manakala waktu malam ribut petir dijangka berlaku di Pahang, Labuan dan beberapa kawasan pedalaman di Sabah.

Pada Jumaat, MetMalaysia menjangka berlakunya ribut petir pada sebelah pagi di Pulau Pinang dan Sabah (Tawau, Sandakan dan Kudat), selain hujan di Melaka, Johor, Sabah (pedalaman dan pantai barat) serta Labuan.

Pada sebelah petang Jumaat pula diramal ribut petir di seluruh negara kecuali Melaka, beberapa kawasan di Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Mukah dan Lembing) dan Labuan manakala waktu malam ribut petir dijangka berlaku di Pahang, Kelantan, Terengganu serta Sabah (pedalaman dan Tawau) dan Labuan.

Hujan juga diramal pada waktu malam di Perak, Sarawak (Kapit, Binulu, Miri, Limbang) dan Sabah (pantai barat dan Sandakan).

Sementara itu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan paras air di Sungai Bernam, Selangor setakat 9.45 pagi ini masih berada di tahap bahaya (2.35 meter) namun menunjukkan trend penurunan.