WRU Selamatkan Enam Ekor Tenggiling Pada Februari

WRU Selamatkan Enam Ekor Tenggiling Pada Februari

0
SHARE
Tenggiling
Antara tenggiling yang berjays diselamatkan ( Sumber Foto: Ihsan Unit Penyelamat Hidupan Liar )

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak enam ekor tenggiling dari kawasan di Penampang, Tuaran dan Kota Kinabalu telah diserahkan kepada Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) Jabatan Hidupan Liar Sabah pada Februari.

WRU dalam satu kenytaan berkata, majoriti spesies terancam tersebut ditemui di kediaman, ketika melintas jalan dan selepas menjadi mangsa serangan anjing.

“Nasib baik, kebanyakan tenggiling yang diselamatkan tidak menunjukkan tanda-tanda ketidakselesaan atau kecederaan fizikal yang besar, kecuali seekor yang diselamatkan di Kampung Kolopis, yang ekornya cedera parah akibat gigitan anjing.

“Mamalia yang mempunyai sifat pemalu ini kemudiannya diserahkan kepada klinik Taman Hidupan Liar Lok Kawi untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut oleh pakar.

“Selepas beberapa hari menjalani rawatan perubatan, dua tenggiling jantan seberat 6.5 kilogram dan lapan kilogram antara enam yang diselamatkan telah selamat pulang ke rumah.

“Yang lain akan menyusul tidak lama lagi apabila doktor haiwan menganggap mereka cukup sihat,” katanya di Facebook hari ini.

WRU turut memuji tindakan bertanggungjawab individu-individu yang menghubungi mereka sekaligus menyelamatkan nyawa tenggiling terbabit.

“Perbuatan mereka menunjukkan gambaran yang sangat baik tentang bagaimana seseorang sepatutnya bertindak jika bertemu hidupan liar untuk menjaga kesejahteraan mereka sebagai aset berharga kepada negeri,” tambahnya.