Jaujan Keliru Dengan IC Sabah – Pemuda SAPP

Jaujan Keliru Dengan IC Sabah – Pemuda SAPP

0
SHARE
Jamain Sarudin...

KOTA KINABALU, SABAH – Pergerakan Pemuda SAPP menyifatkan kenyataan Datuk Jaujan Sambakong, ADUN Sulabayan sebagai keliru dan kurang memahami objektif IC Sabah.

Ketuanya, Jamain Sarudin berkata, sekiranya Jaujan tidak jelas cara kerjanya atau benar-benar tidak faham konsep itu, beliau berpeluang bertanya di Dewan Undangan Negeri apabila cadangan itu dibentangkan oleh Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee.

“Laporan RCI mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin Sabah telah mendedahkan percanggahan dan kewujudan isu kerakyatan meragukan yang dikeluarkan kepada pendatang tanpa izin ini di bawah Projek IC…

“Ia menunjukkan kepada kita bahawa sistem yang sepatutnya kita percayai telah dikompromi, disalahgunakan dan gagal,” katanya.

Katanya, sebab itu, usul IC Sabah yang didesak semasa persidangan DUN baru-baru ini perlu digubal sebagai jaminan perlindungan hak anak-anak Sabah.

“Ramai pendatang tanpa izin telah diberikan kewarganegaraan dengan status kelahiran Sabah “-12-“ dalam Kad Pengenalan mereka melalui Projek IC yang terkenal dan menikmati keistimewaan bumiputera adalah contoh jelas pelanggaran undang-undang di bawah Akta Imigresen dan Pasport negara…

“Adalah aneh bahawa Jaujan meragui IC Sabah dan ia akan disalahgunakan. Saya pasti dia tahu bahawa Projek M atau Projek IC (pemberian kerakyatan secara sistematik kepada pendatang) telah diwujudkan dan dimanipulasi untuk mengubah demografi negeri dan mengubah corak pengundian dalam pilihan raya,” tambahnya.

“Sebab itu IC Sabah perlu dilaksanakan, kita perlu memberi jaminan dan perlindungan kepada anak-anak Sabah khususnya,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Jelasnya, salah satu mekanisme yang dicadangkan oleh IC Sabah adalah bagi melibatkan mahkamah anak negeri, institusi pendidikan dan pusat kesihatan (Hospital) sebagai rujukan untuk menentukan kelayakan mana-mana pemohon dan menapis pemegang MyKad yang meragukan.