KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Malaysian Chinese Association (MCA) Datuk Chong Sin Woon menggesa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berundur dan meletak jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Tindakan berkenaan susulan daripada sepucuk surat yang didakwa di hantar ke Istana Negara semalam untuk memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Chong yang juga sayap Cina BN itu teguh dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini sebaliknya bertegas mahu Zahid berundur diri untuk digantikan Datuk Seri Utama Haj Mohamad Bin Haj Hasan lebih dikenali sebagai Tok Mat.
“Apa yang berlaku dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam Selasa, MCA dan parti-parti komponen BN telah mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang dilhat secara jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN…
“Pada mulanya beliau cuba menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih,” kata Chong dalam sebuah kenyataan media hari ini.
Katanya surat yang diserahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu secara jelas melanggar ketetapan yang dilbuat oleh Dewan Tertinggi BN dan dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong.
“Justeru itu, MCA percaya YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai Pengerusi dan sekali lagi menggesa agar bellau meletakkan jawatan secara terhormat seterusnya digantikan dengan Datuk Seri Utama Haj Mohamad Bin Haj Hasan,” tegasnya.






