YADIM Kutuk Tindakan Pemimpin Politik Sweden Bakar Al-Quran

YADIM Kutuk Tindakan Pemimpin Politik Sweden Bakar Al-Quran

0
SHARE
Al-Quran dibakar secara terbuka pada Sabtu baru-baru ini di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia...(Sumber Foto: Facebook rasmi Anwar Ibrahim)

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengutuk tindakan pemimpin politik Sweden, Rasmus Paludan yang bertindak melampau dengan membakar kitab suci al-Quran seperti yang dilaporkan, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, berkata pihaknya menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk pemimpin politik berkenaan yang berterusan menyebar tindakan bersifat keganasan.

“Tindakan itu mengundang rasa marah dan kecewa rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, khususnya yang beragama Islam. Rakyat negara ini percaya sikap biadap ahli politik itu tidak melambangkan budaya dan kepercayaan majoriti rakyat negaranya,” katanya.

Beliau berkata demikiam dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook rasmi YADIM, hari ini.

Dalam pada itu, Tuan Kamarul turut berkata tindakan terbabit seharusnya dihentikan dengan kadar segera bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk.

Pihaknya percaya Islam juga sentiasa menyeru ke arah kebaikan yang perlu disebarkan bukan hanya di dunia Islam semata mata selain boleh megadakan bantahan menerusi saluran diplomatik.

Katanya, mesej ke arah belas kasihan, rahmah dan kasih sayang serta budi bahasa yang terdapat dan sering ditegaskan dalam al-Quran mesti ditegakkan.

“Sebarang percubaan untuk mengundang kebencian dan keganasan atas alasan kebebasan dan hak asasi manusia tidak boleh dibenarkan.

“YADIM mengajak umat Islam untuk bersatu menyokong bantahan ini dan sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keamanan bersama,” katanya.