1,000 AHLI DAN PEMIMPIN WARISAN SERTAI BERSATU TAWAU

1,000 AHLI DAN PEMIMPIN WARISAN SERTAI BERSATU TAWAU

0
SHARE

TAWAU, SABAH –  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Bahagian Tawau menerima permohonan seramai 1,000 ahli dan pemimpin Parti Warisan (WARISAN) pada Selasa.

Ketua Bahagian BERSATU Tawau, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata seramai enam ketua cawangan WARISAN Tawau mengambil keputusan itu.

“Mereka secara sukarela menyertai BERSATU Sabah dan tidak mengenakan sebarang syarat kerana menyedari kepimpinan kerajaan sekarang ikhlas membantu rakyat…

“Tindakan ini adalah satu yang positif supaya bersama-sama berjuang memperkuatkan kerajaan demi memastikan rakyat sentiasa terbela.

“Banyak kejayaan yang dicapai kerajaan Sabah sekarang ini berbanding semasa WARISAN memegang tampuk kepimpinan negeri,” katanya.

Nizam yang juga ADUN Apas berkata pemimpin negeri yang ada sekarang adalah mereka yang banyak bekerja berbanding bercakap.

“Ketua Menteri kita kurang bercakap dan membuat berjanji manis, tetapi banyak bekerja serta terus mencipta kejayaan dalam pembangunan negeri…

“Kita lihat sekarang banyak kejayaan yang kerajaan negeri perolehi, malah banyak bantuan-bantuan yang diperkenalkan untuk rakyat.

“Justeru, rakyat di negeri ini harus menyokong kepimpinan kerajaan yang ada supaya lebih banyak pembangunan yang boleh dicapai pada masa akan datang,” katanya.

Tambahnya, keputusan mereka menyertai BERSATU tepat kerana parti tersebut mempunyai hala tuju yang jelas untuk membawa rakyat dan negeri Sabah ke arah lebih baik.

Borang keahlian mereka diserahkan melalui Ketua Penerangan WARISAN Tawau, Mohd Norfazly Hassan kepada Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam satu majlis Makan Malam, di sini pada Selasa.

Terdahulu, BERSATU cawangan Tawau juga menerima sebanyak 150 keahlian bersekutu daripada masyarakat cina di daerah ini diketuai Lim Ting Khai.