Fahmi Santuni Bekas Pengamal Media

Fahmi Santuni Bekas Pengamal Media

0
SHARE
Fahmi
Fahmi (kiri) menyantuni Joseph (tengah) sambil di temani oleh Peto (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Komunikasi Dan Digital Malaysia, Fahmi Fadzil menyantuni bekas pengamal media, Joseph Bingkasan.

Menurut Fahmi, Joseph, 68, yang pernah berkhidmat lebih 30 tahun sebagai Ketua Bahagian Editorial New Straits Times (NST) Sabah dan Sarawak dikesan menghidap kanser pada 2014.

“Selain kanser, beliau turut menghidap masalah kegagalan buah pinggang dan darah tinggi.

“Meskipun sebelum ini beliau pernah disahkan sembuh sepenuhnya, namun kanser tersebut telah menyerang kembali pada tahun lepas.

“Beliau kini sedang mendapatkan rawatan di Institut Kanser Negara di samping pelbagai rawatan tambahan.

“Sumbangan tabung Kasih@HAWANA berupa wang tunai yang diserahkan pada hari ini adalah bagi menghargai sumbangan beliau dalam dunia kewartawanan dan diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan perubatan,” katanya ketika ditemui media di kediaman Joseph di Kampung Kionsom Inanam, pada Sabtu.

Tabung Kasih@Hawana merupakan tabung yang diwujudkan sempena Hari Wartawan Nasional 2023 bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

Sementara itu, Joseph meluahkan rasa terharu atas kesanggupan menteri datang menyantuni dan menyerahkan bantuan di kediamannya yang terletak jauh di luar bandar.

“Walaupun keadaan jalan kurang baik dan jauh dari bandar, beliau sanggup datang sendiri menyerahkan bantuan ini.

“Ini merupakan usaha yang baik kepada mana-mana wartawan atau bekas petugas media seperti saya yang mengalami musibah yang memerlukan bantuan,” tambahnya.

Turut bersama dalam rombongan tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Peto Galim. — JABATAN PENERANGAN SABAH