ORGANISASI MEDIA BERPERANAN PASTIKAN INDUSTRI KEWARTAWANAN DI SABAH TERUS KEKAL

ORGANISASI MEDIA BERPERANAN PASTIKAN INDUSTRI KEWARTAWANAN DI SABAH TERUS KEKAL

0
SHARE
Hajiji
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bersama pemenang dan barisan kepimpinan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) sempena Kinabalu Press Awards 2023 ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Organisasi media memainkan peranan penting dalam memastikan industri kewartawanan di Sabah terus kekal utuh dengan penglibatan generasi muda sebagai pelapis dalam bidang berkenaan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata ini berikutan tidak ramai anak muda ingin menjadikan bidang kewartawanan sebagai pilihan kerjaya kerana antaranya tawaran gaji yang diberikan kurang menarik.

“Saya difahamkan tidak ramai anak muda memilih atau mahu menceburi bidang kewartawanan sebagai kerjaya mereka. Mungkin sudah tiba masanya untuk organisasi media menawarkan gaji dan insentif-insentif yang bersesuaian.

“Ini bagi memastikan lebih ramai generasi muda menyertai bidang kewartawanan ini
pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Kinabalu Press Awards 2023 di
sini, semalam.

Mengenai majlis itu, beliau percaya penganjuran Kinabalu Press Awards (KPA) setiap tahun akan menyuntik semangat kepada semua wartawan untuk terus menghasilkan bahan berita berimpak tinggi dan memberi kesan positif kepada pembaca.

“Majlis ini adalah untuk mengiktiraf pengamal media yang telah menghasilkan karya-karya kewartawanan yang cemerlang. Saya melihat penganjuran KPA ini terus relevan dalam memberikan penganugerahan kepada pengamal media di negeri ini.

“Semoga pengiktirafan malam ini (SEMALAM) dapat meningkatkan lagi kualiti kewartawanan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata dalam tempoh baharu tiga tahun mengambil alih tampuk
pemerintahan, kerajaan negeri berupaya membawa masuk lebih daripada RM33 bilion
nilai pelaburan ke Sabah dan berjaya merekodkan kutipan hasil yang tertinggi iaitu
mencecah sehingga RM7 bilion.

“Dengan prestasi ekonomi yang baik, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) juga kini
berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil positif.

“Kejayaan turut dicapai dalam pelbagai sektor yang diberi keutamaan menerusi SMJ seperti perindustrian, pertanian dan pelancongan termasuk pembangunan modal insan bagi memastikan anak-anak tidak tercicir dalam urusan pendidikan mereka seterusnya peluang pekerjaan.

“Walaupun begitu, banyak lagi yang perlu kita lakukan. Kerajaan negeri terus bertekad
untuk memperhebatkan lagi pembangunan dan kemajuan di samping menambah baik
kualiti hidup rakyat melalui pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang meliputi
pelbagai sektor pembangunan,” katanya.

Melihat kepada kejayaan dan usaha kerajaan negeri, beliau mahu pengamal media
terus membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat mengenai kejayaan-kejayaan.yang telah dicapai hingga ke peringkat akar umbi agar dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

“Ini seiring dengan acara malam ini yang bertemakan ‘Progress Through Smart
Partnership’, sebagai simbolik kepada kerjasama pintar antara pengamal media dan kerajaan negeri Sabah, khususnya dalam melaporkan berkaitan dasar dan
pembangunan yang dibawa oleh kerajaan.

“Kerjasama pintar antara pengamal media dan kerajaan negeri amat penting dan perlu
terus diperkukuhkan untuk memastikan kejayaan yang dicapai menerusi Hala Tuju SMJ dapat disampaikan secara terus kepada rakyat,” katanya.

Beliau juga berharap Pejabat baharu SJA akan memudahkan persatuan mengadakan
pelbagai aktiviti dan program bersama ahli-ahlinya.

“Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan usaha bagi membantu persatuan ini untuk
membina bangunan SJA pada masa akan datang,” katanya.

Yang turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pembantu Menteri
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang juga Pemegang Amanah SJA
dan mantan Presiden SJA, Datuk Joniston Bangkuai dan Presiden Sabah Journalists
Association (SJA), Datuk Muguntan Vanar.