KOTA KINABALU, SABAH – Meskipun telah hilang beberapa juta ringgit, ada dari kalangan seramai 18 rakyat Malaysia yang kekal dalam senarai jutawan Forbes World’s Billionaire List dengan kekayaan terkumpul sebanyak RM240.38 bilion.
Robert Kuok mengekalkan kedudukannya sebagai orang terkaya di Malaysia. Portfolio bernilai AS$11.8 bilion meletakkannya di nombor 146 dalam senarai global. Beliau memiliki kumpulan Kuok yang mempunyai kepentingan dalam hotel, hartanah dan komoditi.
Beliau diikuti Quek Leng Chan (AS$10.1 bilion) di tempat ke-179 dan Ananda Krishnan (AS$5.2 bilion) di tempat ke-511.
Quek memperoleh kekayaannya melalui Kumpulan Hong Leong, yang memiliki saham dalam Hong Leong Bank, kumpulan perbankan keempat terbesar Malaysia mengikut modal pasaran.
Sepupu Quek Kwek Leng Beng juga seorang bilionair. Beliau ialah pengerusi Kumpulan Hong Leong di Singapura.
Ananda pula terkenal dengan empayar multimedianya yang merangkumi Astro dan Maxis Communications.
Di tempat keempat di dalam negara kita ialah Kooh Poh Keong yang mengasaskan syarikan aluminium Press Metal pada tahun 1986 bersama empat saudaranya. Hari ini Press Metal beroperasi di Eropah, UK, Australia dan New Zealand serta China dan Amerika.
Teh Hong Piow merupakan antara 10 orang terkaya di Malaysia dengan nilai bersih AS$5.7 bilion dalam senarai Forbes 2022 namun telah meninggal dunia pada Disember tahun lalu.
Pemain baharu yang tersenarai ialah anak-anaknya, William Teh Lee Pang, Lillian Teh Li Ming, Lillyn Teh Li Hua dan Diana Teh Li Shing.
Kemasukan tiga tiga anak perempuan menjadikan mereka wanita Malaysia pertama yang berjaya masuk dalam senarai bilionair.
Yang lain termasuk dua bilionair daripada industri perjudian — Lim Kok Thay, pengerusi Kumpulan Genting dan Dr Chen Lip Keong dari Kumpulan Naga yang memegang lesen kasino di ibu negara Kemboja, Phnom Penh.
Chen, yang memiliki ijazah perubatan dari Universiti Malaya, pernah berkhidmat sebagai penjawat am sebelum memulakan perjalanan perniagaannya.
Peneraju konglomerat minyak sawit dan hartanah, IOI Group, Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng juga tersenerai. Adik beradik itu mewarisi IOI daripada bapa mereka Lee Shin Cheng yang meninggal dunia pada 2019.
Antara tokoh besar lain ialah Syed Mokhtar Albukhary dengan nilai bersih AS$1.6 bilion yang mana sebahagian besarnya adalah daripada kepentingannya dalam DRB-Hicom dan MMC Corp.
Tan Yu Yeh, yang memiliki rangkaian runcit produk rumah Mr DIY serta Jeffrey Cheah, pengasas dan pengerusi Sunway Group, turut disenaraikan.






