KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan keputusan Kabinet Persekutuan untuk menyahklasifikasi laporan akhir mengenai nahas pesawat Double Six sebagai “kelegaan” dalam merungkai sejarah Sabah.
Titik hitam pada 1976 itu mengorbankan 11 orang termasuk pemimpin Kerajaan Negeri Berjaya, ketika itu, Tun Fuad Stephens.
“Ini melegakan kerana ia akan merungkai apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu.
“Lega bukan hanya kepada keluarga mereka yang terkorban dalam nahas pesawat itu tetapi juga kepada rakyat Sabah,” katanya.
Ketua Menteri berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar mengenai keputusan Kabinet Persekutuan membenarkan penyahklasifikasian dokumen yang telah disembunyikan selama 47 tahun.
“Kerajaan negeri akan menerima penemuan laporan itu dengan hati terbuka,” katanya.






