201 Individu Terima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah

201 Individu Terima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah

0
SHARE
Juhar
Azhar (kiri) menerima anugerah P.G.D.K yang disampaikan oleh Tun Juhar (kanan) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-71 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin menyaksikan 201 individu menerima anugerah masing-masing dalam sesi kedua.

Istiadat dimulakan dengan pengurniaan darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah iaitu Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) yang membawa gelaran “Datuk” kepada 30 penerima antaranya, Pengarah Perikanan Sabah, Datuk Azhar Kasim, paderi bersara, Rev. Fr. Felix Chung Chi Lok dan mantan Pengerusi Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) Cawangan Sabah, Datuk Ir. Willy Chin Tet Fu.

Manakala, salah seorang daripada dua individu yang menerima Watikah Pelantikan Jaksa Pendamai ialah Presiden Dewan Perniagaan Cina Bersatu, Datuk Guan Ka Hock.

Mendahului senarai penerima bagi penganugerahan Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K) ialah isteri Timbalan Ketua Menteri II, Datin Seri Panglima Linda Ewit dan isteri Timbalan Ketua Menteri III, Datin Dg. Noor Hayyat Ag. Mohd Saufi.

Selain itu, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Rafidah Maqbool dan Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Dr. Ferro Firdaus Ibrahim juga antara 20 individu yang menerima A.S.D.K..

Istiadat itu juga menampilkan seramai 40 individu menerima Ahli Darjah Kinabalu (A.D.K) dan antara penerimanya ialah isteri Timbalan Speaker DUN, Datin Scarlett Suhaili Sambinding, diikuti dengan penganugerahan Bintang Setia Kinabalu (B.S.K) kepada 51 penerima, Bintang Kinabalu (B.K) 38 penerima dan 20 individu lain menerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T).

Istiadat pengurniaan diserikan dengan kehadiran isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu, pada Selasa. — JABATAN PENERANGAN SABAH