285 Koloni Setinggan Dikenal Pasti Di Sabah – Joachim

285 Koloni Setinggan Dikenal Pasti Di Sabah – Joachim

0
SHARE
Joachim
Joachim (duduk, tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama penerima APC dan semua warga Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang hadir ( Sumber Foto: Ihsan KKTP Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jawatankuasa Induk Menangani Setinggan telah mengenal pasti bahawa terdapat sebanyak 285 koloni setinggan di seluruh Sabah, melibatkan 33,566 buah rumah dan 130,397 penduduk.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang telah dilantik oleh Kabinet Negeri sebagai Pengerusi jawatankuasa ini berlata, hanya tiga daerah iaitu Ranau, Kota Belud dan Tuaran yang tidak mempunyai koloni setinggan.

Beliau menyarankan setiap daerah mempunyai pelan daerah bagi menangani setinggan-setinggan ini.

“Saya ingin melihat lebih banyak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah yang sifar setinggan.

“Daerah atau PBT yang mempunyai banyak koloni setinggan hendaklah mencapai penurunan yang ketara menjelang akhir tahun 2025,” kata Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 dan Majlis Amanat Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah 2024 di Hilton Kota Kinabalu Hotel, di sini, Jumaat lepas.

Menurutnya, beliau juga telah mengarahkan agar semua PBT menyediakan kajian keperluan perumahan di PBT masing-masing serta mengenal pasti dan menyenaraikan tanah yang tersedia dibangunkan untuk pembangunan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Beliau turut mengambil perhatian mengenai usaha Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW) untuk meningkatkan prestasi jabatan.

“Saya sendiri melihat ada perkembangan baik terutama proses penilaian dan kelulusan pembangunan dalam Majlis Perancang Negeri yang dipengerusikan oleh saya sendiri.

“Saya menyokong usaha berterusan JPBW untuk terus maju ke hadapan walaupun berhadapan dengan kekangan-kekangan seperti kekurangan kakitangan dan yang lain-lain.

“Walaupun berdepan dengan rintangan ini, kamu teruskan kerja yang cemerlang sebab saya percaya kerja keras dan semangat yang tinggi akan tetap dilihat oleh pihak atasan,” ujarnya.