SEMPORNA: Tiga lelaki berusia di antara 36 tahun hingga 45 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Tawau hari ini di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya atas kesalahan berurusan barang kawalan minyak petrol tanpa lesen.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna, Jong Jee Leong berkata, pihaknya menjumpai sebanyak 225 liter minyak petrol di dalam 9 unit jerikin secara runcit atau borong tanpa lesen.
Katanya, ini merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
“Hakim selanjutnya telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000.00 dan jika gagal membayar maka hukuman penjara 6 bulan kepada tertuduh pertama; Razif Maek, denda RM6,000 atau 4 bulan penjara ke atas tertuduh kedua; Herman Hassan.
“Manakala tertuduh ketiga; Kalding Jabi (Tiada Dokumen Pengenalan Diri) dikenakan hukuman penjara selama 4 bulan dan diperintahkan untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen bagi tujuan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman penjara,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Pendakwaan bagi kes ini telah dijalankan sendiri oleh Jong Jee Leong yang mewakili pihak KPDN.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tangkapan kes tersebut dilakukan di kawasan tepi bakau di Kampung Sinallang Lama, Daerah Semporna oleh pasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna dan kemudian diserahkan kepada pihak KPDN untuk siasatan lanjut.
“Semasa tangkapan, didapati ketiga-tiga tertuduh memiliki barang kawalan iaitu minyak petrol sebanyak 225 liter yang di isi di dalam 9 unit jerikin yang diletakkan di atas bonet kenderaan jenis Isuzu Dmax berwarna kelabu gelap.
“Orang yang tertuduh ini didapati tidak memiliki sebarang lesen atau kebenaran berhubung minyak petrol yang dimiliki,” jelasnya.
Di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
Katanya lagi, KPDN Cawangan Semporna tidak akan berkompromi dengan aktiviti melibatkan barang kawalan dan akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan di daerah ini.