BEAUFORT: Seramai 46 pelajar masyarakat Bisaya yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 menerima Dana Pendidikan dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar sempena sambutan Adau Janang Gayuh 2026.
Majlis anjuran Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) itu disempurnakan oleh presidennya, Datuk Ruslan Muharam di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, di sini.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata, program itu merupakan antara inisiatif pertama di bawah kepimpinannya sebagai Presiden PBBS, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan dan kebajikan ahli.
Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan membantu serta mendorong anak-anak masyarakat Bisaya mencapai kecemerlangan akademik dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Selama ini masyarakat ingin melihat apakah sumbangan persatuan kepada masyarakat Bisaya. Melalui inisiatif ini, kita mahu PBBS memainkan peranan yang lebih nyata dalam membantu ahli, khususnya anak-anak yang masih menuntut ilmu,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, penerima dana pendidikan disyaratkan menjadi ahli PBBS bagi memastikan manfaat persatuan disalurkan secara langsung kepada ahli dan keluarga mereka.
Ruslan berharap inisiatif itu dapat diteruskan bagi melahirkan generasi Bisaya yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada kemajuan masyarakat.
Program berkenaan turut menampilkan Pameran Pendidikan, TVET dan Kerjaya bagi memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai peluang melanjutkan pengajian, latihan kemahiran dan laluan kerjaya.






