Bryan Realisasi Manifesto RTK, Martabat Bahasa Ibunda

Bryan Realisasi Manifesto RTK, Martabat Bahasa Ibunda

0
SHARE

KOTA KINABALU: Naib Juara Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Peringkat Negeri Sabah 2026, Bryan Nickolson Jacob merealisasikan komitmen manifestonya dalam memartabatkan bahasa ibunda dan warisan budaya menerusi program Ogirot Boros, Ogirot Tinaru (Gema Bahasa Ibunda).

Program yang berlangsung dari 23 hingga 26 November ini dilaksanakan dengan kerjasama Kelab Bahasa Kadazan Dusun (BKD), SIDMA College, berlandaskan aspirasi manifestonya, “Budaya Kita, Masa Depan Kita”.

Inisiatif itu memberi penekanan kepada pemeliharaan identiti budaya, pemerkasaan belia serta penglibatan komuniti dalam melestarikan warisan Sabah.

Antara pengisian program termasuk bengkel asas bahasa ibunda, pertandingan Manangon, Monisui, Hiis, BBM dan Pialaan Takanon Kaubasanan bagi memberi peluang kepada generasi muda mengenali serta menghayati warisan masyarakat Kadazan Dusun.

Menerusi program itu, Bryan mahu memperkukuh kesedaran bahawa bahasa ibunda bukan sekadar medium komunikasi, malah melambangkan identiti, sejarah dan kebanggaan sesuatu bangsa.

Pelaksanaan manifesto berkenaan turut mencerminkan peranan pemegang gelaran RTK yang bukan sekadar terhad kepada pentas pertandingan, sebaliknya sebagai ikon belia dan penggerak budaya.

Bryan berharap inisiatif seumpama itu dapat diperluaskan bagi melahirkan generasi muda yang berbangga dengan identiti sendiri serta aktif dalam melestarikan warisan budaya Sabah.

Kapsyen: Bryan Nickolson Jacob bersama barisan Randawi Tavantang Kaamatan, peserta dan ahli jawatankuasa pelaksana program Gema Bahasa Ibunda di SIDMA College.