LONDON – Penyerang kelab Juventus, Cristiano Ronaldo yang kembali ke Manchester United selepas 12 tahun meninggalkan Old Trafford itu bakal meraih gaji sebanyak £480,000 (RM2.76 juta) seminggu.
Ini sekali gus menjadikan Ronaldo, 36, menjadi pemain yang menerima gaji paling mahal di Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini.
Pemain yang telah memenangi Ballon d’Or lima kali itu mewujudkan suasana yang dramatik buat peminat bola sepak di Liga Perdana Inggeris (EPL) terutamanya Manchester United pada semalam selepas terpalit dengan khabar angin berkenaan berita perpindahan Ronaldo dari Juventus ke Manchester City.
Tetapi pada akhirnya, Manchester United menggunakan peluang yang ada memasuki ‘perlumbaan’ bagi menyaingi Manchester City dalam usaha mendapatkan Cristiano Ronaldo dari Juventus selepas Massimiliano Allegri mengesahkan bintang Portugal itu mahu meninggalkan Itali.

Perpindahan itu akan menyaksikannya kembalinya Ronaldo ke Old Trafford dan muncul sebagai pemain yang menerima gaji paling tinggi mengatasi Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku, Harry Kane dan David de Gea.
Menurut sumber, pemain tengah Manchester City, De Bruyne menerima gaji tertinggi di Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu £385,000 (RM2.22 juta) seminggu manakala penjaga gol United, De Gea hanya kurang £10,000 (RM57,600) berbanding De Bruyne.

Gaji yang bakal diterima Ronaldo pula menyaksikannya mengatasi De Bruyne hampir £100,000 (RM576,000), namun jumlah itu masih tidak dapat mengatasi gaji yang diterima Lionel Messi dan Neymar di PSG setakat ini.
Selepas meninggalkan Barcelona awal bulan ini, Messi bersetuju dengan gaji £1 juta (RM5.76 juta) seminggu bersama PSG.
Rakan sepasukannya, Neymar yang menyertai kelab itu pada 2017, turut menerima gaji tinggi sebanyak £600,000 (RM3.46 juta) seminggu.
