SANDAKAN, SABAH – Kira-kira 500 umat Islam mengalunkan selawat ke atas nabi junjungan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW) di Dewan Masyarakat Sandakan, semalam.
Diketuai Pembantu Menteri II Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Mohd Hasan Ag Supain, Malam Kasih Junjungan SAW itu diadakan bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Daerah.
Selain selawat, majlis turut diserikan dengan ceramah oleh Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad selepas ucapan aluan daripada Pengerusi Jawatankuasa Majlis, Awang Zakaria Maria.
Pada majlis itu, persembahan marhaban dan berzanji diiringi oleh mantan Juara Musabaqah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah Mohd Nazri Apin, nasyid dan qasidah oleh Majlis Ta’lim dan Maulid Al-Fath Sabah manakala, selawat didahului kumpulan Trio Selawat.
Hadir sama, ADUN Dilantik Jaffari Waliam yang juga Pengerusi Innoprise Capital Sdn, Bhd.,Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Ade Rizal Pahlevi Mohd Zen, Timbalan Presiden II Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Farizal Setoh merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, Timbalan Yang Dipertua USIA Sabah Datuk Alipuddin KK Puyon, Ahli-ahli MPS serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan. — JABATAN PENERANGAN SABAH