KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 57 peratus wanita berusia 18 dan 30 tahun mengalami gangguan seksual berbentuk lisan secara kebiasaan tahun lalu, menurut rekod Pusat Tadbir Urus dan Pengajian Politik (CENT-GPS).
Berdasarkan soal selidik Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) pada tahun 2019 terhadap 28,852 responden berusia 21 hingga 40 tahun di negara ini, hanya 1,796 atau 6.3 peratus responden akan membuat laporan, manakala majoriti 93.7 peratus memilih tidak membuat laporan.
Dalam kajian yang sama, seramai 17,925 responden atau 62 peratus menyatakan undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk mengendalikan kes gangguan seksual.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan semua mangsa tidak malu atau takut untuk tampil membuat aduan.
“Statistik menunjukkan bahawa mangsa tampil membuat aduan masih terlalu rendah kerana kira-kira 80 peratus individu mengalami gangguan seksual tidak membuat laporan atas pelbagai sebab seperti fobia, malu dan trauma,” tambahnya.
Isu gangguan seksual juga berlaku di tempat kerja yang seolah-olah sudah menjadi perkara lumrah, katanya, sambil menambah, ramai menganggap perbuatan itu sekadar gurauan atau usikan untuk meredakan tekanan akibat bebanan tugas di pejabat atau memang sengaja suka-suka untuk menarik perhatian mangsa.
“Bagi mewujudkan suasana kondusif terutama di tempat kerja, perlakuan berkenaan tidak seharusnya dipandang remeh. Kita yakin perlakuan kecil jika dibiarkan akan bertambah serius kerana si pelaku merasakan mangsa boleh menerima segala tindakannya.
“Justeru, atas dasar untuk sama-sama bertanggungjawab dalam memikul tugas dan amanah ini.
“Saya amat berterima kasih kepada Jabatan Tenaga Kerja Sabah atas inisiatif dalam menganjurkan Konvensyen Perburuhan pada hari ini…
“Yang pasti, proses ini sebenarnya masih panjang termasuk Kerajaan perlu bersedia menerima cadangan daripada pelbagai pihak untuk penambahbaikan dalam segenap aspek supaya pengklasfikasian apa saja bentuk perlakuan itu tiada sebarang kelompangan,” katanya semasa merasmikan Program Konvensyen Perburuhan Peringkat Negeri Sabah Siri 3/2022 bertemakan “Gangguan Seksual di Tempat Kerja: Persepsi versus Realiti” semalam.
Gangguan seksual didefinisikan sebagai perlakuan kurang disenangi melalui kata-kata, isyarat, sentuhan, psikologi dan visual yang berunsurkan seks yang dilakukan berulang-ulang. Masyarakat perlu disedarkan bahawa kelakuan yang bersifat seksual boleh berlaku dalam apa-apa bentuk sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal ditujukan kepada seseorang yang menyinggung, menghina atau mengancam mangsa.
Ini termasuk pandangan atau kerlingan memberikan bayangan niat atau keinginan berbentuk seksual, menghantar atau menunjukkan mesej berunsur seksual menerusi media elektronik, dalam talian, secara berhadapan dan isyarat membayangkan perlakuan seks atau lain-lain yang berkaitan, semuanya termasuk dalam jenayah gangguan seksual.
Menurut Yakub, sejak dulu, sekarang dan sampai bila-bila perlakuan gangguan seksual menjadi isu penting yang wajar diperjuangkan kerana kesan salah laku jenayah itu mampu meninggalkan kesan mendalam, menjejaskan perkembangan psikologi dan fizikal kepada mangsa, sekali gus mengganggu keharmonian pekerjaan dan mencemar kesejahteraan masyarakat.
“Oleh itu, apa-apa sahaja bentuk gangguan seksual sama sekali tidak boleh dinormalisasikan, malah masyarakat sewajarnya tidak boleh bertolak-ansur terhadap sebarang isyarat atau perkataan yang menjurus kepada tindakan keji itu, sekali gus menghentikannya segera,” ujarnya.
Yakub berkata, Kementeriannya mempunyai hasrat murni untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam memenuhi ekspektasi rakyat.
Tambahnya, Kementerian juga akan memastikan pelaksanaan dasar berkaitan pembangunan dan pengurusan sumber manusia dan modal insan negeri ini agar dapat diselaraskan sejajar dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau juga berharap kerjasama strategik bersama pihak-pihak berkepentingan seperti ini akan dapat diteruskan, agar segala aktiviti dan perancangan yang bakal dilaksanakan dapat memberi impak kepada rakyat dan dinikmati oleh semua kumpulan sasar.
“Sehubungan dengan itu, saya percaya program yang dianjurkan pada hari ini merupakan wadah yang terbaik bagi menyampaikan hasrat kerajaan untuk memastikan segala dasar yang telah dirancang untuk rakyat kembali kepada rakyat.
“Justeru itu, Kerajaan khususnya melalui Jabatan Tenaga Kerja Sabah telah diberi tanggungjawab untuk terus memastikan usaha yang komprehensif melalui pelbagai program yang diatur berada pada landasan yang sepatutnya.
“Saya juga amat percaya dengan kombinasi di antara majikan yang prihatin, pekerja yang berkualiti dan produktif, sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang efektif serta keadaan persekitaran kerja yang kondusif, maka pastinya produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesebuah organisasi akan mencapai tahap dan standard yang dikehendaki,” katanya.





