
KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 680 warganegara Filipina termasuk 35 orang kanak-kanak diusir pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan ke Bandar Zamboanga dalam Program Pemindahan Jabatan Imigresen Malaysia Sabah pertama bagi tahun 2024 pada Rabu.
Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata pecahan tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) merupakan 552 orang lelaki, 93 perempuan, 31 orang kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan empat berumur 23 bulan ke bawah.
“Purata umur tahanan dari 6 bulan sehingga 75 tahun. Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1.
“Tahanan PATI yang terlibat pada kali ini adalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Sandakan seramai 551 orang dan Depot Imigresen Tawau seramai 129 orang sahaja.
“Sepanjang tahun 2023 seramai 8,678 orang tahanan telah dipindahkan ke negara asal melibatkan pengangkutan laut dan udara,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sitti berkata Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.





