KOTA KINABALU, SABAH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas timbalan pengarah sebuah agensi di sini, hari ini kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM14,000.
Menurut sumber, wanita yang berusia 40 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Sabah, kira-kira jam 10 pagi tadi selepas hadir memberi keterangan.
“Siasatan awal mendapati suspek mengemukakan tuntutan resit palsu berhubung dengan pelaksanaan program-program agensi kerajaan berkenaan sekitar Julai 2013 sehingga Ogos 2014,” katanya.
Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita tersebut.
SPRM memaklumkan bahawa suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.





