PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan untuk menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 1 September ini sehingga 31 Disember ini.
Beliau mengumumkan keputusan itu menerusi satu perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, malam ini.
Menurut beliau, pelanjutan tempoh PKPP itu bermakna tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih digunakan.
“Ini adalah untuk memastikan semua pihak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan,” katanya.
Selain itu, beliau turut memberi peringatan kepada rakyat agar tidak mengambil mudah ancaman serius penularan yang cepat dalam skala besar oleh virus perebak utama (super spreader).
“Oleh itu, peraturan kuarantin yang ketat di tempat-tempat tertentu akan terus dikuatkuasakan…
“Tiada sesiapa dikecualikan daripada peraturan ini dan mana-mana individu yang melanggarnya akan dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
Menurutnya, kerajaan akan mengambil inisiatif untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan melanggar peraturan PKPP sehingga ‘dua atau tiga kali ganda dari kadar sekarang’, seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Walaupun begitu perkara ini perlu diperhalusi dan (akta) perlu dipinda terlebih dahulu,” katanya.
Muhyiddin juga menggesa rakyat supaya sentiasa prihatin terhadap tanggungjawab membendung penularan wabak COVID-19.
“Kita semua adalah barisan hadapan (frontliner) yang berada di barisan paling hadapan untuk memerangi dan mencegah wabak ini.
“Saya percaya jika kita semua dapat memainkan peranan masing-masing dalam mencegah wabak COVID-19, negara kita akan berjaya untuk bebas daripada wabak ini dengan lebih cepat,.
“Saya mendoakan semoga saudara dan saudari terus diberikan perlindungan daripada wabak ini dan sentiasa sihat sejahtera,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, perlaksanaan PKPP sebelum ini bermula pada 10 Jun lalu dan dijadualkan berakhir pada 31 Ogos (Isnin) ini.
Terdahulu, Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Kemudian, Kerajaan di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) mula melonggarkan perlaksanaan PKP pada 4 Mei, dengan mengumumkan PKP bersyarat (PKPB) yang kemudiannya telah beralih kepada PKPP yang bermula 10 Jun lalu.





