PACQUIAO DIJANGKA BERSARA SELEPAS KALAH KEPADA UGAS

PACQUIAO DIJANGKA BERSARA SELEPAS KALAH KEPADA UGAS

0
SHARE

LONDON – Petinju sensasi Filipina, Manny Pacquiao memberi bayangan seolah-olah dia akan bersara sepenuhnya daripada sukan tinju selepas tular video dalam ciapan Twitter miliknya semalam.

Pacquiao semalam membuat satu ciapan berbentuk video dengan ayat “Terima Kasih” mengundang pelbagai reaksi dan spekulasi daripada peminat sukan itu.

Manny Pacquiao membuat satu hantaran ciapan berbentuk video pada Twitter miliknya dengan ayat ‘Terima Kasih’…

“Mungkin inilah pengakhiran karier tinju saya tetapi ini yang saya mahu katakan kepada semua peminat tinju, orang di seluruh dunia: kami menghiburkan orang ramai, kami menghiburkan di dalam gelanggang…

“Tetapi apa yang paling penting adalah apa yang kita lakukan untuk mereka, bagaimana kita boleh membantu mereka.

“Bukan sahaja untuk orang Filipina tetapi untuk semua saudara kita di seluruh dunia,” katanya dalam video yang penuh beremosi itu.

Dalam pada masa yang sama, Pacquiao turut menyatakan ‘kita’ (masyarakat dunia) perlu membantu orang ramai yang terjejas dan kelaparan yang merujuk kepada kesan pandemik COVID-19.

“Sentiasalah ingat bahawa Tuhan adalah cinta, jadi kita mesti menyayangi dan membantu antara satu sama lain. Bukan setakat menerusi percakapan tetapi menerusi tindakan…

“Terima kasih kepada anda semua – media, penyokong dan promoter kerana sentiasa memberi peluang kepada kami.

“Saya menghargai apa yang anda lakukan. Terima kasih kepada anda semua, terima kasih tinju,” tambahnya dalam ucapan itu.

Video yang penuh dengan emosi daripada Pacquiao itu dimuat naik selepas dia mengalami kekalahan kepada Petinju Cuba, Yordenis Ugas minggu lalu.

Ugas yang menewaskan Pacquiao pada ketika itu sekaligus mengekalkan kejuaraan welterweight (super) WBA miliknya.

Kekalahan mengejut Manny Pacquiao itu berlaku pada penampilannya kembali ke gelanggang selepas dua tahun Yordenis Ugas mengecewakan lawannya untuk memenangi pertarungan dengan keputusan sebulat suara.

Pada perlawanan itu, Ugas mendahului semua tiga kiraan dengan 115-113, 116-112 and 116-112 dan menang dengan keputusan sebulat suara selepas pertarungan 12 pusingan dekat T-Mobile Arena.

Kesan daripada kekalahan itu, pelbagai spekulasi telah tercetus bahawa Pacquiao yang kini telah mencecah usia 42 tahun itu akan bersara selepas mengharungi pelbagai cabaran dalam sukan tinju di peringkat dunia.