KUALA LUMPUR – Penulisan buku biografi oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ jelas menjurus kepada unsur penghinaan serta bersifat ‘mala fide’ kerana kesan penulisan itu boleh menjatuhkan integriti dan maruah serta institusi perundangan negara, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan.
Ekoran daripada perkara itu, beliau berkata, pihaknya akan memberi jaminan akan bertindak mengikut undang-undang terhadap usaha memperkecilkan badan perundangan dan kehakiman.
“Saya berasakan banyak aspek dalam buku itu yang ‘karut’ terutama sekali yang menyentuh soal akauntabiliti, ketelusan dan keadilan pegawai undang-undang yang bertugas di Jabatan Peguam Negara (AGC) dan juga di mahkamah di seluruh negara…
“Sebagai seorang bekas pegawai undang-undang di mahkamah pada tahun 1980’an dan ahli Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA), saya percaya bahawa setiap pegawai undang-undang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip utama undang-undang,” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.
Pada masa sama, Takiyuddin yang dipetik BH Online berkata, pegawai bertanggungjawab akan sentiasa bertindak dalam ruang lingkup undang-undang, bebas dari sebarang pengaruh, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan, sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak.
Beliau berkata, AGC dan mahkamah adalah institusi perundangan yang sentiasa bersikap terbuka, serta menerima baik segala pandangan dan cadangan dari dalam dan luar, mahupun kritikan yang membina.
“Inilah sikap kita yang menghormati prinsip ‘fundamental liberties’ atau kebebasan asasi yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan…
“Kita anggap teguran yang membina itu, boleh meningkatkan lagi kualiti pelaksanaan tugas kehakiman dan perundangan dalam kalangan pegawai kita.
“Bagaimanapun, teguran berkenaan hendaklah dibuat dengan niat ikhlas dan dengan budi bahasa dan tanggungjawab yang munasabah dalam had undang-undang,” katanya.
Takiyuddin berkata, proses keadilan tidak boleh dilaksanakan dengan baik, lancar dan berkesan, tanpa sokongan daripada pegawai undang-undang di AGC dan mahkamah serta pengamal undang-undang di sektor swasta.
Katanya, integrasi serta kerjasama ketiga-tiga sektor ini, mampu memastikan undang-undang dan keadilan dapat ditegakkan dalam masyarakat.
“Saya turut yakin kebolehan, komitmen, dedikasi, kemahiran serta kejujuran pegawai undang-undang di AGC dan di mahkamah tidak boleh dipersoalkan sama sekali…
“Setiap tugasan yang dilaksanakan mereka adalah mengikut lunas undang-undang secara tersurat mahupun tersirat, tidak sekali-kali mengikut selera sendiri malah jauh dari bertujuan meraih populariti di mata mana-mana pihak,” katanya lalgi.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan pihak kerajaan akan sentiasa memerhatikan dan bertindak mengikut undang-undang, terhadap sebarang usaha memperkecilkan badan perundangan dan kehakiman serta pegawainya.
Katanya, prinsip kedaulatan undang-undang perlu dijadikan garis panduan bagi setiap individu mahupun kumpulan, dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan.
“Saya juga meminta pegawai undang-undang di AGC dan mahkamah terus menanam azam dan semangat tinggi, untuk menjayakan tanggungjawab dan amanah diberikan bagi mendokong prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang Malaysia tanpa rasa takut atau berpihak kepada mana-mana pihak,” tambah beliau.






