KUALA LUMPUR – Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan baru-baru ini memberi peringatan buat semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) agar sentiasa Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Badan pengendali itu tidak akan berkompromi sekiranya ada lagi pasukan yang selepas ini didapati gagal mematuhi SOP sehingga ‘menyemai’ COVID-19 dalam pasukan.
Hamidin yang dipetik BH Online turut berkata bahawa hukuman akan menanti pasukan terbabit bagi memastikan situasi sama tidak akan berulang memandangkan ia merencatkan perjalanan liga yang sudah disusun.
“Sebenarnya lembaga pengarah sudah membuat keputusan dan ia akan dimaklumkan kepada semua rakan kongsi. Selepas ini, kita memandang ke depan bukan hanya tahun ini tetapi tahun depan juga…
“Mana-mana pasukan yang gagal mematuhi SOP, lembaga pengarah akan jatuhkan hukuman. Pekeliling akan dikeluarkan mengikut peraturan yang kita luluskan supaya ia tidak akan terjadi lagi.
“(Bentuk hukuman) kita tunggu Ketua Pegawai Eksekutif keluarkan surat. Bertenang, kita akan keluarkan peraturan dan sebagainya dalam seminggu lagi.
“Dalam mesyuarat juga, kita sudah siapkan beberapa lagi garis panduan berdasarkan pengalaman dari tahun ini bagi memastikan perjalanan liga tidak terjejas,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat rakan kongsi kelima secara maya, semalam.

Untuk rekod, beberapa pemain didapati positif COVID-19 sebelum saingan domestik kembali bersambung selepas rehat dua bulan sehingga menyaksikan beberapa pasukan terpaksa menjalani kuarantin sekali gus menyebabkan perlawanan membabitkan mereka terpaksa ditangguhkan.
Dalam perkembangan lain, Hamidin sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk meninggalkan badan pengendali liga itu dan penggantinya dijangka dapat diketahui sedikit masa lagi.
“Insya Allah kita akan dapat berita mengenainya dalam masa terdekat seperti janji saya pada Kongres FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), jadi kita tunggu masanya. Saya akan tunaikan janji seperti yang dibuat…
“Nanti akan ada makluman apabila sampai masanya nanti. (Pengganti) akan diputuskan oleh lembaga pengarah kerana seperti yang terdapat dalam klausa, lembaga pengarah ada kuasa untuk tentukannya,” katanya.





