Pendekatan Kerajaan Dwipartisan Mampu Tangani Pandemik Dan Krisis Ekonomi – SEEDS

Pendekatan Kerajaan Dwipartisan Mampu Tangani Pandemik Dan Krisis Ekonomi – SEEDS

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Pertubuhan Pengupayaan Masyarakat dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEEDS) menggesa cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar diberikan pertimbangan yang serius oleh semua pihak khususnya pimpinan tertinggi parti-parti pembangkang.

Dalam sebuah kenyataan, SEEDS berkata cadangan tersebut bukan sahaja dapat memastikan kerajaan mampu berfungsi untuk menangani masalah pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi negara tapi juga merupakan satu permulaan yang baik ke arah mereformasikan pentadbiran dan institusi kerajaan.

“Peluang reformasi yang sebesar begini seharusnya tidak di sia-siakan oleh pihak pembangkang…

“Apa yang harus dilakukan sekarang ialah bagi pihak kerajaan untuk sama-sama berbincang dengan pihak pembangkang tanpa mengira perbezaan yang wujud dalam blok pembangkang dan memperhalusi cadangan-cadangan ini dan seterusnya merangka terma-terma yang dipersetujui bersama bagi memboleh cadangan tersebut dilaksanakan.

“Pendek kata, kedua-dua pihak hendaklah memulakan langkah pertama untuk berbincang mengenai bukan saja cadangan yang dikemukakan, namun pihak pembangkang boleh menggunakan peluang ini untuk mengemukakan tawaran mereka sendiri,” jelasnya.

Katanya sudah tiba masanya agar ketidakstabilan politik yang melanda negara ketika ini diselesaikan melalui perundingan dan apa yang diperlukan pada ketika ini adalah bagi semua parti-parti politik menghentikan segala percaturan politik (politiking).

“Sebaliknya mereka patut saling bekerjasama dalam menangani pandemik serta memberikan keutamaan kepada pemulihan ekonomi negara…

“Reformasi institusi merupakan agenda yang telah lama tertangguh di negara kita. Cadangan reformasi institusi melalui pendekatan dwipartisan kerajaan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri akan memberi peluang kepada pihak kerajaan dan pembangkang untuk merangka dan menyusun semula tadbir urus pentadbiran negara.

“Pendekatan inklusif dan bipartisan dalam kerangka reformasi institusi merupakan teras utama dan menjadi titik tolak kepada perubahan dalam negara kita,” katanya lagi.

Cadangan untuk memperkenalkan rang undang-undang anti lompat adalah sesuatu yang amat dialu-alukan dengan mengambil kira kesan tindakan sesetegah anggota legislatif yang bertukar parti kepada ketidakstabilan sesebuah kerajaan.

Terdapat banyak pandangan yang berbeza berkenaan keperluan undang-undang berkaitan anti lompat namun majoriti bersetuju bahawa perlunya satu mekanisma untuk memastikan tindakan YB bertukar parti ditangani secara tuntas.

“Oleh itu, cadangan pengenalan rang undang-undang berkaitan dengan anti lompat perlu diperhalusi dengan lebih teliti dan secara menyeluruh. Dalam masa yang sama mekanisma yang berlainan juga perlu dipertimbangkan sebagai alternatif kepada undangundang anti lompat.

“Begitu juga dengan cadangan untuk memperkenalkan tempoh had jawatan Perdana Menteri…

“Ia memerlukan penelitian secara mendalam bagi memastikan ia dapat memberi manfaat politik kepada negara.

“Secara dasarnya pengenalan kepada had tempoh jawatan dapat membuka ruang kepada perubahan dalam kepimpinan parti politik Malaysia dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini,” katanya.

Ujarnya lagi, cadangan untuk menyetarakan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah bertepatan dan bersesuaian dengan amalan demokrasi berparlimen dimana pihak pembangkang diberi peranan yang lebih signifikan dalam proses menyemak dan mengimbangi dasar-dasar kerajaan.

“SEEDS mencadangkan agar reformasi parlimen diperluaskan dengan menubuhkan Jawatankuasa Tetap yang membayangi setiap kementerian yang ada…

“Ini membolehkan agar setiap strategi dan perlaksanaan dasar kementerian dipantau oleh ahli parlimen,” katanya.