GRS Sentiasa Buka Pintu Kepada Pemimpin Pembangkang Untuk Bawa Kemajuan Kawasan Dan...

GRS Sentiasa Buka Pintu Kepada Pemimpin Pembangkang Untuk Bawa Kemajuan Kawasan Dan Demi Rakyat

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa membuka pintu kepada pemimpin pembangkang yang ingin membawa kemajuan kepada kawasan mereka demi rakyat.

Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih, mengingatkan akan kepentingan untuk membuang sifat ego dalam politik.

“Walaupun kita sayang parti disebelah, kita kena lebih sayangkan rakyat. Sebagai kawasan baru, Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama sesungguhnya memerlukan pembangunan.

“Tapi kalau ini tandas pun tidak boleh buat, ianya satu kerugian kepada rakyat kerana hasil banyak tetapi rakyat tidak dapat menikmatinya.

“Banyak prasarana yang perlu dibangunkan melalui agensi kerajaan. Kalau kita kekal di pihak sebelah sana, saya jangka benda tu tidak akan sampai ke kuasa,” katanya.

Beliau mengulas pengisytiharan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamiddin Ketapi, untuk keluar parti Warisan dan memberi sokongan kepada GRS pagi tadi.

VIDEO sidang media Khas Datuk Mohamaddin Ketapi membuat pengumuman keluar dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) pagi tadi di Marina Sutera Harbour, Kota Kinabalu…

Isnin berkata beliau hadir hanya untuk sokongan moral dan sebagai seorang sahabat.

Beliau mengingatkan bahawa masih tinggal EMPAT(4) tahun lagi dalam penggal pimpinan GRS dan ianya amat merugikan jika ada seorang wakil rakyat tetapi tidak mampu berfungsi sepenuhnya.

“Saya yakin selepas ini ramai lagi akan mengikut jejak langkah Mohamiddin. Tindakan mengetepikan ego ini sesuatu yang terpuji…

“Ramai (dari parti Warisan) sudah mula menghubungi cuma sedang menunggu masa yang sesuai.

“Mereka sedar kawasan mereka tidak lagi boleh dibela pemimipin parti mereka dan jalan yang sewajarnya adalah untuk membuang sifat sombong dan mengikut kerajaan,” katanya sambil menyeru pihak pembangkang agar tidak ketinggalan dalam membangunkan negeri.

Apabila ditanya jika dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, yang berkata sedang berlakunya sesi jual beli di antara wakil rakyat pembangkang, Isnin meminta ianya dibuktikan.

“Kalau betul, dan dia ada bukti, bawalah hal itu ke pengadilan, buat laporan polis. Terpulang kepada dia, dan setahu saya dia lebih arif tentang hal sebegini…

“Jika tidak, ianya hanya retorik. Kalau cerita kosong, semua orang pun boleh cakap,” tegasnya.