Proses Penamaan Calon PRN Melaka Berlangsung Dalam Norma Baharu

Proses Penamaan Calon PRN Melaka Berlangsung Dalam Norma Baharu

0
SHARE

MELAKA – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 yang berlangsung hari ini lancar dalam suasana norma baharu di 28 pusat penamaan yang akan dibuka pada jam 9 pagi

Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat persiapan rapi di semua pusat penamaan calon itu yang akan menyaksikan prosedur operasi standard (SOP) ketat dilaksanakan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Setakat ini, LIMA (5) parti iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta seorang calon bebas, telah menyatakan hasrat bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Calon Perikatan Nasional N.04 Lendu, Mejar (B) Abdullah Mahadi tiba pada hari penaman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) N.04 Lendu di Dewan Kompleks Japerun Lendu, Masjid Tanah…

Dijangka seramai 91 calon akan mengemukakan borang pencalonan.

Tidak seperti sebelum ini, proses penamaan calon dalam suasana norma baharu kali ini berlangsung tanpa perarakan penyokong yang mengiringi calon.

Calon BN DUN Tanjung Bidara Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tiba di pusat penamaan calon Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara…

Kebenaran hanya diberikan kepada calon, pencadang dan penyokong calon atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka untuk masuk ke dalam pusat penamaan bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N2 Tanjung Bidara Zainal Hassan (dua, kiri) tiba di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri Melaka di Bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara hari ini…(Sumber Foto: BERNAMA)

Sementara itu, cuaca cerah dan baik walaupun sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca hujan di satu dua tempat pada sebelah pagi di kesemua tiga daerah iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.