KOTA KINABALU, SABAH – Kedai runcit Kojasa Mart yang sinonim dengan harga barangan keperluan seharian berpatutan telah kembali bagi kemudahan usahawan dan pengguna tempatan Sabah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun merasmikan pelancaran kedai Kojasa Mart yang pertama di Suria Inanam pagi tadi.
Katanya, Kojasa Mart beroperasi di bawah kendalian Kojasa Holdings Berhad (Kojasa) yang dimiliki sepenuhnya oleh Qhazanah Sabah Berhad (QSB) iaitu pembangun pelaburan Kerajaan Negeri.
“Kojasa berniat untuk membuka lagi sebuah cawangan pada hujung tahun ini dalam misi membekalkan pengguna Sabah harya murah sesuai dengan slogan ‘Beli Banyak, Bayar Sikit’…
“Dengan kehadiran yang lebih menonjol kali ini, Kojasa Mart juga tekad menjadi pembekal dan pemborong kepada peruncitan kecil-kecilan sekitar Sabah termasuk kawasan pedalaman.
“Kojasa Mart juga mahu menjadi platform untuk pengusaha tempatan memasarkan produk mereka,” katanya.
Katanya lagi, Kojasa Mart akan mengguna pakai teknologi kecerdasan buatan (AI) pada kesemua premis mereka bagi memantau dan mengemas kini barangan yang dijual.

Melalui sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kojasa Kojasa Holdings Bhd dan Epost Sabah April lalu, Kojasa Mart akan bergerak memusatkan operasi tanpa perlu bergantung kepada orang tengah dalam rantaian bekalan perniagaannya.
Epost ialah syarikat logistik e-dagang yang menyediakan logistik bersepadu, pengurusan e-dagang dan langganan teknologi kepada pelbagai jenama dan peruncit.
Antara barangan yang akan dijual di Kojasa Mart inanam adalah guni beras 10kg jenama Beras Kojasa.
Dalam pada itu, dalam menyokong operasi Kojasa Mart, Kojasa menerusi pembekal perkhidmatan penghatarannya sendiri, KOJAX Sdn Bhd (KOJAX) akan menghantar pesanan pelanggan dalam radius 20km dari kedai Kojasa Mart.
Hadir sama ialah Pengerusi QSB, Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak, Pengerusi Kojasa Holdings Berhad YBhg. Dato’ Baror @ Baharul Sawi, Pengarah QSB YBhg. Datuk Dr. Johnson Tee, Pengarah Eksekutif Hj. Mohd Shukor Abdul Mumin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Rizal Dahli.
Ketua Pegawai Modal Insan QSB Sh Abdullah Sh Along, Pengarah Kojasa Holdings Berhad Datuk Amelia Ajun dan Tuan Shamsuddin Erang, Pengerusi Kojasa Trading Sdn Bhd Tuan Haji Yahya Haji Ahmad, Pengarah Kojasa Trading Sdn Bhd Encik John Marigil dan Ketua Pegawai Eksekutif Angkatan Hebat Sdn Bhd Tuan Haji Faez Ainstein Nordin.





