SIPITANG – Arca Sabah Maju Jaya (SMJ) yang didirikan di pekan sini menjadi mercu tanda dan tarikan baharu kepada pengunjung.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Sindumin, Sani Haji Miasin berkata, pemasangan arca SMJ itu diusahakan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sindumin.
Ia disumbangkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) iaitu sebuah GLC Kerajaan Negeri.
“Sabah Maju Jaya (SMJ) merupakan slogan Jata Negeri sejak sekian lama dan telah diangkat sebagai nama pelan pembangunan Negeri Sabah bagi tahun 2021-2025 yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Seperti yang dinyatakan oleh Hajiji, Hala Tuju Sabah Maju Jaya berfungsi sebagai panduan hala tuju dasar dan program kerajaan, seterusnya memandu arah pelaksanaan secara terancang dan strategik, untuk mencapai sasaran dan matlamat yang bertepatan dengan keperluan pembangunan negeri,” katanya.
Menurutnya, SMJ bukan sahaja perlu dihayati oleh kakitangan Kerajaan, malah rakyat jelata serta bersama-sama menjayakan agenda pembangunan negeri itu.
“Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada SLDB kerana sudi menyumbang bagi pembinaan arca itu, dan berharap lebih banyak GLC Kerajaan seperti Petronas, Sawit Kinabalu, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan lain-lain akan turut serta menyumbang untuk keindahan dan kecantikan pekan-pekan dalam kawasan DUN Sindumin amnya dan Sipitang khasnya,” tambah Sani.





