SEMPORNA, SABAH – Penyeludupan 29 tong minyak berisikan petrol dianggarkan bernilai RM 17,725 ke Filipina dipatahkan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) di perairan berhampiran Pulau Bohayen sini.
Dua orang lelaki, seorang warganegara Filipina, 50 dan seorang warganegara tempatan, 24, turut ditahan dalam kejadian jam 6.15 petang Ahad lalu.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata kedua-dua suspek tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Unit VIPER 02 bersama Tim Quick Reaction Force (QRF) berjaya memintas dan menahan bot laju tersebut yang begerak laju dari arah barat ke sempadan perairan Malaysia – Filipina,” katanya.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati keseluruhan petrol minyak berjumlah 1,015 liter.
“Bot tersebut ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga kerana awak-awak bot tiada dokumen pengenalan diri yang sah…
“Bot laju tersebut telah ditunda ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna dan awak-awak bot tersebut kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bagi membuat laporan polis.
“Mereka seterusnya dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan semula kepada pihak IPD Semporna bagi siasatan lanjut oleh PDRM,” kata Abdul Karim.
Katanya lagi, kerjasama yang erat di antara petugas keselamatan khususnya di kawasan sempadan negara Perairan Pantai Timur Sabah berada di tahap yang terbaik.





