SANDAKAN, SABAH – Sebuah bot pancung yang membawa 15 tong berisi 375 liter petrol tanpa permit yang sah telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam operasi telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.
“Melihat kepada kejadian tersebut, pihak Maritim Malaysia kemudiannya mengarahkan bot suspek berhenti untuk pemeriksaan.
“Bot terbabit tidak memberikan kerjasama dan telah memecut laju sambil bertindak membuang 15 tong disyaki berisi petrol ke laut.
“Bot suspek kemudiannya menuju ke perairan cetek berhampiran daratan bagi melarikan diri. Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan, bot dengan enjin sangkut 40 kuasa kuda itu tidak mempunyai nombor pendaftaran.
“Nilai rampasan termasuk barang kawalan, enjin sangkut dan bot dianggarkan berjumlah sekitar RM16,000 ,” katanya.
Menurutnya, kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam satu kes yang berasingan, Zon Maritim Sandakan juga telah berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu nama nakhoda tidak sama dengan lesen bot tersebut pada Isnin lalu.